BTS Media

Tiada lagi penggiliran kehadiran bagi murid sekolah rendah mulai 17 dan 18 April ini

Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan bahawa semua murid sekolah rendah di negeri kumpulan A dan kumpulan B dibenarkan hadir ke kelas tanpa penggiliran bermula 17 dan 18 April ini.

Negeri kumpulan A ialah Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala negeri lain diletak dalam kumpulan B.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, keputusan dibuat selepas melihat sesi persekolahan secara bersemuka dengan penggiliran bagi sekolah rendah sejak 21 Mac lepas dan sesi persekolahan secara bersemuka tanpa penggiliran bagi sekolah menengah sejak Isnin lepas.

Beliau yang juga Naib Presiden Bersatu berkata demikian semasa pada sesi Tanya DRJ di Facebook pada Jumaat (8 April).

Sebelum ini, KPM menetapkan murid Tahun 3, 4 dan 5 hadir ke sekolah secara penggiliran terutama di sekolah yang melebihi 600 orang manakala bagi yang jumlah pelajar di bawah 600 orang, semua murid sekolah rendah harian dan sekolah swasta perlu hadir tanpa penggiliran.

Mohd Radzi turut menasihati murid dan guru supaya mematuhi SOP walaupun negara sedang bergerak ke arah Fasa Endemik.

-BTS Media

Leave a Comment