BTS Media

Kementerian Pendidikan teliti dakwaan isu silibus aras tinggi sekolah rendah

GAMBAR ATAS: Wikimedia Commons.

 

Penelitian akan dilakukan berhubung dakwaan silibus aras tinggi yang dibebankan ke atas guru dan murid sekolah rendah, kata Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin.

Beliau berkata, penelitian itu bertujuan memastikan sama ada silibus yang diperkenalkan ketika ini benar-benar kompleks atau sebaliknya.

“Atau adakah apa yang diperkenalkan sesuatu pendekatan yang sedikit berbeza yang kita tak biasa, yang kita rasa lebih sukar.

“Itu perkara kita lihat kerana apabila saya meneliti buku teks ini ada perkara yang baharu diperkenalkan (tetapi) dulunya kita pernah belajar,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan penerima Anugerah Sastera Negara ke-15 di kementeriannya.

Semalam, FMT melaporkan keluhan guru berpengaruh di media sosial, Mohd Fadli Salleh, yang mendakwa sistem pendidikan negara rosak disebabkan kewujudan “Little Napoleon” di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang “menyorok” kebenaran berhubung isu silibus aras tinggi.

Fadli atau lebih dikenali cikgu Fadli mendakwa, perkara itu membebankan guru dan murid sekolah rendah.

Beliau sering mengupas keluhan guru dan ibu bapa mengenai standard silibus pendidikan negara

Fadli juga mendakwa pegawai PPD tertentu cuba mengunci mulut guru yang meluahkan pandangan mereka mengenai isu silibus aras tinggi untuk murid Darjah 1 hingga 6.

Dalam pada itu, Radzi mengakui menerima aduan mengenai silibus terlalu tinggi yang disuarakan di media sosial.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya didapati silibus yang diajar itu kompleks pihak kementerian akan membuat semakan.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, bagi meringankan beban yang ditanggung pengusaha kantin, KPM telah memberi pengecualian sewaan kantin dan premis dalam sekolah bawah kementerian hingga 31 Dis.

Beliau berkata, lanjutan itu adalah kerana pihak kementerian sedar mengenai cabaran yang dihadapi pengusaha kantin.

“Maka antara komponen penting utama dalam pengurusan kantin itu sendiri ialah kos operasi sewa. Itu sudah pasti dapat lanjutkan pengecualian.

“Tidak perlu bayar sewa kos itu sendiri, (harap) dapat bantu pengusaha kantin dan kurangkan beban kos operasi mereka,” katanya.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/06/22/kpm-teliti-dakwaan-isu-silibus-aras-tinggi-sekolah-rendah/

Leave a Comment