BTS Media

Kecewa kerana masalah perbaharui pasport

GAMBAR ATAS: Facebook jabatan Imigresen Malaysia.

 

Oleh Amira Ismail

Orang ramai yang memohon pasport secara dalam talian akhirnya terpaksa berkunjung ke Jabatan Imigresen untuk melengkapkan sesetengah prosedur.

Mereka melahirkan kekecewaan dan meminta supaya jabatan itu mengeluarkan senarai arahan yang jelas tentang apa yang boleh dan tidak boleh buat.

Tinjauan Akhbar The Star di pejabat Imigresen Jalan Duta dan UTC Pudu mendapati tidak semuanya berjalan lancar dengan proses permohonan dalam talian hingga memerlukan pemohon datang sendiri ke kaunter.

Antara keluhan dan persoalan membabitkan permohonan dalam talian termasuk sama ada perlu mengambil gambar terlebih dahulu atau mengisi butiran peribadi secara dalam talian dan kemudian terus ke kaunter.

Orang ramai dilihat terpaksa pergi dari kaunter ke kaunter untuk menguruskan permohonan.

Seorang pemohon berkata dia telah cuba mendapatkan temu janji secara dalam talian, tetapi agak membosankan kerana perlu mengisi butiran tertentu sebelum diminta memilih slot, namun apabila cuba klik untuk berbuat demikian slot pula tidak dipaparkan, dan pemohon perlu kembali ke laman pertama dan melakukan segala-galanya sekali lagi.

Dalam pada itu ada yang mengeluh kerana sistem tidak menerima pembayaran melalui kad kredit.

Menurut The Star, beberapa pemohon yang hadir di pejabat UTC Pudu mereka cuba memperbaharui pasport secara dalam talian tapi menghadapi pelbagai masalah.

Ada yang berdepan dengan kepelikan apabila sistem dalam talian menunjukkan cap jari perlu diambil semula kerana sama ada ia tiada dalam pangkalan data atau tidak dapat digunakan lagi, justeru permohonan baharu tidak dapat diproses.

Bila berlaku masalah, sistem akan mengarahkan pemohon supaya pergi sendiri ke kaunter Imigresen.

Satu lagi isu yang menyulitkan ialah apabila pemohon gagal untuk memuat naik foto. Bagaimana pun, sebuah kedai gambar yang membantu pemohon berbuat demikian tidak pula mengalami masalah tersebut, hingga berjaya menguruskan sekurang-kurangnya 30 hingga 40 permohonan.

Masalah utama yang dialami kebanyakan pemohon ialah berhubung pengesanan cap jari, hingga mereka perlu pergi ke pejabat Imigresen untuk diselesaikan.

-BTS Media

Leave a Comment