BTS Media

Banyak syarikat Malaysia tolak pesanan kerana masalah kurang pekerja asing

 

Oleh Zainal AS Rashid

Syarikat Malaysia, termasuk daripada sektor perladangan kepala sawit hingga kepada pengeluar semikonduktor terpaksa menolak tempahan dan menanggung kerugian hingga berbilion ringgit kerana masalah kekurangan lebih sejuta pekerja asing.

Keadaan yang boleh mengancam ekonomi negara ini terus menjadi masalah walaupun pembekuan pengambilan pekerja asing berikutan pandemik Covid-19 telah ditarik balik pada Februari lalu.

Namun demikian, negara masih belum lagi menyaksikan kembalinya pekerja asing secara ketara berikutan proses rundingan yang perlahan dan rundingan berpanjang dengan Indonesia dan Bangladesh berhubung perlindungan pekerja, kata sumber diplomat, industri dan syarikat terbabit.

Malaysia yang banyak bergantung pada tenaga pekerja asing merupakan komponen penting dalam rantaian bekalan global. Ini kerana berjuta pekerja asing diperlukan oleh sektor pengilangan, perladangan dan perkhidmatan bagi memenuhi pekerjaan yang sukar dipenuhi oleh rakyat tempatan, lapor Reuters.

Sektor pengeluaran yang menguasai hampir satu perempat daripada ekonomi negara kini dikatakan bimbang akan kehilangan pelanggan yang memilih sumber dari negara lain, di mana keadaan ekonomi semakin rancak.

Bagi presiden persekutuan Pengilang Malaysia, Soh Thian Lai yang mewakili lebih 3,500 syarikat, walaupun optimistik akan unjuran dan peningkatan jualan, namun sesetengah syarikat masih berdepan dengan kekangan untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Menurut ketua eksekutif United Plantations, Carl Bek-Nielsen, keadaan menjadi lebih mencengkam bagi penanam kelapa sawit. Dia mengandaikan sektor tersebut seperti permainan bola sepak dengan pasukannya mempunyai hanya tujuh pemain, tetapi terpaksa berentap dengan pasukan lawan 11 pemain.

Malaysia mengalami kekurangan kira-kira 1.2 juta pekerja bagi sektor perkilangan, perladangan dan pembinaan.

Data industri dan kerajaan menunjukkan bahawa keadaan sekarang semakin teruk dari sehari ke sehari apabila permintaan meningkat setelah sekatan pandemik ditarik balik

Pengilang berkata mereka kekurangan kira-kira 600,000 pekerja, sektor pembinaan memerlukan 550,000, industri minyak sawit melaporkan kekurangan 120,000 pekerja, pembuat cip elektronik kekurangan 15,000, justeru tidak dapat memenuhi permintaan walaupun berdepan dengan kekurangan cip global, dan pembuat sarung tangan perubatan berkata mereka memerlukan 12,000 pekerja.

Menurut data daripada S&P Global, Indeks Pengurus Pembelian pembuatan Malaysia turun kepada 50.1 pada Mei daripada 51.6 pada April, setelah sektor itu paling banyak mengalami kehilangan pekerja sejak Ogos 2020. Keadaan telah mengakibatkan kilang pengeluar cip terpaksa menolak pelanggan, kerana rakyat tempatan tidak berminat untuk bekerja dalam industri itu, dan jika ada pun yang berminat untuk bekerja, mereka berhenti setelah bekerja kurang daripada setahun, kata presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Wong Siew Hai.

Industri kelapa sawit yang menyumbang 5% kepada ekonomi negara memberi amaran akan kehilangan tiga juta tan hasil tahun ini kerana buah sawit rosak tanpa dikutip, justeru mencatatkan kerugian lebih daripada RM17.6 bilion.

Industri sarung tangan getah pula menganggarkan kerugian hasil sebanyak RM3.1 bilion bagi tahun ini sekiranya masalah kekurangan pekerja berterusan.

Hak Pekerja

Menurut Reuters, Kementerian Sumber Manusia Malaysia, yang bertanggungjawab meluluskan pengambilan pekerja asing, tidak memberikan respons apabila diminta mengulas mengenai masalah buruh dan kesan terhadap ekonomi.

Kementerian meluluskan hanya 2,065, dan memberi alasan bahawa yang lain ditolak kerana maklumat tidak lengkap atau tidak mematuhi peraturan

Pada April lalu, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata pihak syarikat telah meminta untuk mendapatkan 475,000 pekerja asing, tetapi kementerian meluluskan hanya 2,065, dan memberi alasan bahawa yang lain ditolak kerana maklumat tidak lengkap atau tidak mematuhi peraturan.

Diplomat dari Indonesia dan Bangladesh, yang merupakan dua negara sumber terbesar buruh asing di Malaysia, memberitahu Reuters bahawa hak pekerja adalah sebahagian daripada masalah yang melambatkan proses pengambilan pekerja asing.

Bangladesh menandatangani perjanjian pada Disember untuk menghantar pekerja, tetapi pelaksanaannya ditangguhkan selepas Dhaka membantah proses pengambilan pekerja yang dicadangkan oleh Malaysia. Ini berikutan kebimbangan terhadap rancangan yang dikatakan akan membawa kepada peningkatan kos bagi pekerja, selain terikat dengan hutang, kata sumber diplomatik Bangladesh.

Amerika Syarikat telah mengharamkan tujuh syarikat Malaysia sejak dua tahun lepas di atas dakwaan terbabit dalam isu buruh paksa.

Saravanan, yang berada di Dhaka pada awal bulan ini berkata Malaysia telah memberi jaminan kepada kerajaan Bangladesh untuk memastikan gaji yang lebih baik dan perlindungan terhadap kebajikan pekerja.

Beliau menafikan dakwaan bahawa proses pengambilan pekerja itu mengalami masalah.

Minggu lepas, Saravanan berkata kerajaan sedang memuktamadkan isu-isu teknikal, serta prosedur pengambilan dan perjanjian dengan beberapa negara sumber.

Dalam pada itu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, berkata kebimbangan berhubung isu perlindungan pekerja telah ditimbulkan pada semasa perbincangan dua hala baru-baru ini.

-BTS Media

Leave a Comment