Oleh Ahmad Abd Hamid
Malang sungguh nasib pasukan bola sepak Perak, Perak FC. Nasib ‘Kejor Yob Kejor’ bagai sudah jatuh ditimpa tangga, dihempap pula oleh rumah yang roboh. Luka yang memang parah kini semakin parah. Darah meleleh di seluruh anggota, atau kata orang putih bleeding.
Yob sudah benar-benar lemah tidak berdaya. Pasukan yang pernah digeruni kini sudah hilang taring. Hebat di persada Liga Super, dan pernah beberapa kali menjuarai Piala Malaysia dan Piala FA, musim ini tersingkir ke Liga Perdana.
Gaji pemain dan pegawai tidak dibayar antara dua hingga tujuh bulan. Gaji tertunggak menyebabkan ramai pemain berkaliber angkat kaki mencari padang lebih hijau. Bermulalah era suram Seladang ‘Bos Gaurus’ akibat ketiadaan ramai tonggak utama.
Pemain yang tinggal terpaksa mengharungi perlawanan dalam keadaan tempang, ditambah dengan semangat merudum kerana tidak dibayar gaji. Akhirnya Perak FC tercampak ke Liga Perdana.
Janji demi janji yang diberi untuk melunaskan gaji kepada pemain dan pegawai bagai tiada cahaya di hujung terowong. Gaji tertunggak dianggar RM2 juta. Hutang keseluruhan pula dilaporkan mencecah RM8 juta.
Impact Media & Communication (IMC) yang pada mulanya diharap menjadi sinar menelan kabus apabila mengambil alih Perak FC setelah membeli 100 peratus pegangan saham Persatuan Bola Perak (PAFA), nyata gagal. Malah ia sudah memaklumkan tidak mampu membayar tunggakan gaji.
Gaji tertunggak menyebabkan Perak FC tidak dibenarkan mendaftar pemain baharu dari dalam mahu pun luar negara. Terpaksalah bergantung kepada pemain sedia ada, juga pemain Liga Belia dan Piala Presiden. Jumlah yang mampu didaftar hanya 20 orang. Jika berlaku sesuatu di luar dugaan, di mana hendak dicekau pemain ganti?
Pihak IMC yang sudah angkat bendera putih berhubung isu tunggakan gaji, sedia menjual Perak FC dengan harga RM1 sahaja. Dilaporkan ada syarikat yang berminat mengambil alih. Namun sehingga ini tiada khabar berita.
Kerana gagal melunaskan gaji pada 1 April seperti ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia, Perak FC dikenakan pemotongan tiga mata. Jika berterusan jumlah pemotongan mata akan meningkat kepada enam dan akhirnya disingkir dari liga.
Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul dan derita ditanggung oleh Ketua Jurulatih, Yusri Che Lah dan anak buahnya. Dalam keadaan dihimpit masalah kewangan, bagaimana hendak memberi tumpuan untuk bermain kerana macam-macam bermain dalam kepala.
Belanja untuk diri, keluarga, sewa rumah dan sebagainya mengganggu tumpuan. Tenaga ditagih tetapi poket kosong. Walau setinggi mana komitmen, jika tenaga dikerah namun ganjaran tiada, semangat juang boleh terpadam. Sebagai pemain profesional, gaji adalah sumber pendapatan.
Menurut Yusri, ada di antara pemain yang terpaksa ‘bercerai’ dengan harta kesayangan, misalnya menjual motosikal. Ini antara cara untuk meneruskan hidup. Tetapi berapa banyak boleh diraih dan berapa lama boleh bertahan?
Lebih malang, yang diharap dapat meringankan beban tidak bersedia untuk membantu. Kerajaan negeri Perak dianggap benteng dan payung untuk melindungi mereka. Tetapi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, sudah menyatakan kerajaan negeri tidak akan membantu Perak FC.
Katanya, kerajaan negeri tidak mahu masuk campur dalam urusan tunggakan gaji ini dan mahu Perak FC mencari jalan menyelesaikan sendiri kemelut. Bukankah meminta bantuan kepada kerajaan negeri satu ikhtiar?
Walau pun Perak FC sudah diswastakan, kerajaan negeri ada tanggung jawab moral membantu. Apakah tidak malu kerajaan Perak kerana Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang tidak ada kena mengena dengan pasukan Perak, sedia menghulur bantuan sehingga RM400,000.
Benar, ini tidak dapat mengatasi kemelut gaji secara total. Tetapi sekurang-kurangnya ada kemurahan hati Tunku Mahkota meredakan keadaan. Sepatutnya sumbangan baginda menjadi ‘isyarat’ kepada pihak lain, termasuk kerajaan negeri untuk melakukan perkara sama.
Namun, bagi menteri besar kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenang membantu Perak FC, bimbang nanti apa kata persatuan sukan lain.
Beliau juga memberi alasan wang RM2 juta itu adalah banyak dan jika diagihkan kepada keluarga miskin dengan kadar RM200 seorang, berapa banyak keluarga miskin boleh dibantu.
Alasan munasabah dan boleh memberi kesan baik dari sudut politik. Tetapi tiada siapa meminta dihentikan bantuan kepada rakyat miskin. Teruskan usaha murni itu. Memang pun tugas kerajaan negeri prihatin dan mengambil berat penderitaan rakyat.
Namun jangan lupa pasukan bola sepak Perak juga penting. Sejak lama ia mengibarkan panji-panji negeri Perak dalam sukan tersebut. Pelbagai kejayaan Perak sebelum ini mengharumkan nama negeri. Masakan sewaktu berjaya sahaja mahu tumpang seronok bangga, apabila susah tidak peduli.
Tidak semestinya kerajaan negeri sahaja yang membantu. Pelbagai syarikat atau syarikat GLC di Perak sewajarnya boleh turut sama menitip sumbangan.
Memetik bekas Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, Perak pernah melalui detik mencabar pada 2010 dengan tunggakan gaji sehingga RM4.7 juta. Masalah berjaya diatasi sebelum tempuh akhir ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan bantuan kerajaan negeri dan GLC. ‘Bos Gaurus’ terselamat disingkir daripada liga.
Sekurang-kurangnya kelab peminat bola sepak Perak mahu turut membantu dengan melancarkan kutipan derma RM1 seorang daripada rakyat Perak. Namun bukan mudah untuk memperoleh jumlah yang banyak dalam waktu singkat.
Kini bulan Ramadan dan insyaAllah hari raya bakal menjelang. Apa persediaan dan persiapan yang boleh dibuat untuk diri serta keluarga menyambut perayaan jika untuk melalui kehidupan seharian pun penuh duri?
Sebagai anak jati Perak dari Bagan Datuk, dan penyokong Perak FC, penulis menyeru simpatilah kepada pegawai, jurulatih dan pemain Perak yang sedang melalui detik sangat sukar dalam karier mereka. Kembalikan kegemilangan Perak FC di persada bola sepak tanah air. Jangan biarkan Seladang tumbang hingga mati!
-BTS Media