GAMBAR ATAS: Ptrump16, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons
Oleh Fetty Rara
Lebih 25 juta penduduk Shanghai diletakkan di bawah perintah ‘lockdown’ berikutan lonjakan serius varian Covid-19 omikron yang pesat menular sekarang.
Media melaporkan lebih separuh bahagian timur kota mega China itu berada dalam ‘lockdown’ yang ketat walaupun penutupan segala aktiviti selama empat hari berakhir pada pagi Jumaat (2 Mac).
Bahagian barat bandar raya itu, di mana kira-kira dua pertiga penduduknya tinggal, memulakan ‘lockdown’ empat hari pada pukul 3 pagi waktu tempatan semalam setelah ia berakhir di bahagian timur.
Sepanjang ‘lockdown’ penduduk dilarang meninggalkan rumah melainkan keluar untuk mendapatkan ujian wajib Covid-19 yang diadakan secara besar-besaran.
Shanghai kini muncul sebagai wilayah wabak virus terburuk di China sejak awal pandemik tersebut dua tahun lalu.
Menurut data rasmi, jangkitan harian di bandar itu telah meningkat daripada kurang lima kes pada awal Mac kepada lebih 6,300 pada Jumaat.
Lonjakan serius varian omikron ke Shanghai yang merupakan pelabuhan kontena terbesar dunia, selain menempatkan ibu pejabat pelbagai syarikat global dan domestik itu merupakan cabaran paling besar bagi Presiden Xi Jinping dalam usaha menyasar dua matlamat, iaitu untuk menghapuskan Covid-19 dan meminimumkan kesan pandemik kepada masyarakat dan ekonomi China.
Penganalisis berpendapat lonjakan omikron bakal membebankan ekonomi kedua terbesar dunia itu dan mengancam mengganggu rantaian bekalan global.
-BTS Media