GAMBAR ATAS: Ramli Sarip kini muncul dengan album Rasa yang boleh dijadikan koleksi berharga peminat pada masa akan datang.
Oleh Khadijah Ibrahim
Lebih setengah abad bergelar anak seni menyaksikan Datuk Ramli Sarip kaya dengan pengalaman berharga. Ramli, 69, yang sinonim dengan panggilan Papa Rock, adalah insan unik yang dianugerahkan bakat semula jadi dalam penghasilan lagu dan lirik yang menyengat.
Karyanya tidak pernah menghampakan apabila sering hadir dengan tema kehidupan, adab pekerti, falsafah, seni budaya dan agama. Kali ini, Ramli muncul dengan album berjudul Rasa yang menampilkan sisi kualitinya yang tersendiri dalam industri hiburan.
Sembilan tahun tanpa album baharu, Ramli memperkemaskan karyanya menerusi album ini untuk dijadikan koleksi dan khazanah berharga peminat pada masa akan datang.
“Bagi saya, setiap perkara yang dizahirkan kita mempunyai ‘rasa’ dan inilah yang ditampilkan dalam album solo ke-12 ini selepas Kalam Kesturi pada 2002.
“Rasa adalah album terbaik yang saya hasilkan kerana ia menggabungkan elemen muzik ‘folk’ (rakyat), blues, rock dan pop tetapi masih dalam teras Nusantara Melayu.
“Malah, Rasa adalah cerminan peribadi saya terhadap kehidupan yang dilalui termasuk mengimbau semula kehidupan silam saya ketika zaman bersama kumpulan Sweet Charity,” jelasnya.
Sempena kelahiran album Rasa dan bagi menghilangkan rasa rindu peminat terhadapnya, Ramli akan tampil dengan persembahan istimewa dalam majlis berbuka puasa RASA (Cinta Di Sebalik Musim) Datuk Ramli Sarip pada 24 April 2022 di Royale Chulan Kuala Lumpur.
Program anjuran Mukmin Pay Sdn. Bhd., dengan sokongan Konsortium IRAMA ini memberi peluang untuk peminat berbuka puasa dengan Ramli serta menikmati persembahan menarik yang akan disajikan.
“Ramli sememangnya sinonim dengan lagu-lagu berkonsep nasihat dan religi yang sangat popular di kalangan pelbagai peringkat peminat.
“Justeru beliau akan tampil menghiburkan peminat-peminat yang hadir nanti dengan rangkaian lagu-lagu popular lama dan baharu dari album Rasa selama lebih satu setengah jam.
“Persembahannya juga akan diiringi oleh barisan pemuzik profesional yang sering bekerjasama dengannya,” kata Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid.
Lebih dari itu, kerjasama antara Mukmin Pay Sdn. Bhd., dengan Konsortium IRAMA juga bermatlamat untuk membantu penggiat seni yang berdepan ujian seperti sakit dan sebagainya.
“Kita akan buat tabung untuk penggiat seni. Untuk hari ini, kami akan memberi sumbangan kepada wakil Ali XPDC yang mengalami masalah jantung dan Dwan Olan yang diuji dengan serangan strok ringan.
“Maksudnya di sini peminat yang membeli meja secara automatik turut menyumbang kepada tabung yang diwujudkan.
“Selain IRAMA, sumbangan akan turut dihulurkan kepada beberapa pihak lain yang akan dikenal pasti selepas ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Mohd. Yusni Ismail selaku Ketua Pegawai Eksekutif Mukmin Pay Sdn. Bhd., percaya peminat amat merindui penampilan Ramli selepas dua tahun tidak menonton persembahannya secara langsung akibat pandemik Covid-19.
“Persembahan akan bermula selepas selesai tarawih. Kami percaya peminat yang hadir pasti terhibur dengan persembahannya.
“Tempat ini hanya boleh memuatkan 60 meja dan ia dibuka kepada konsep siapa cepat dia dapat,” katanya.
Harga jualan meja untuk RASA (Cinta Di Sebalik Musim) Datuk Ramli Sarip dikategorikan kepada Meja Super VVIP – RM15,000 (8 orang), Meja VVIP – RM10,000 (8 orang), Meja VIP – 7,000 (8 orang), Meja Platinum RM5,000 (8 orang) dan Meja Gold RM3,000 (8 orang).
Bagi kedudukan individu pula harga yang ditawarkan hanya untuk meja Platinum dan Gold saja. Tempat duduk individu untuk meja Gold adalah RM375 seorang. Tempahan tiket boleh dibuat menerusi pautan https://datukramlisariproyalechulankl.onpay.my/order/form/ramlisarip/RS04
-BTSMedia