BTS Media

SOSMA: “Dia orang tak suka muka saya,” kata Hamzah

TOP PHOTO: OneNews, CC BY-SA 3.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0>, via Wikimedia Commons

 

Oleh Zainal AS Rashid

Beberapa ahli parlimen meninggalkan Parlimen semasa usul Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ahli Parlimen Larut itu berkata beliau terkejut melihat mereka keluar semasa undian dipanggil.

Ditanya sama ada apa-apa alasan diberikan kepadanya (untuk keluar) Hamzah menjawab, “mereka tidak suka muka saya.”

Beliau menganggap tindakan mereka itu sebagai tidak bertanggungjawab dan mengetepikan kepentingan negara.

“Saya sudah katakan ini sebelum ini, isu Sosma adalah soal keselamatan negara,” katanya kepada media di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur pada Jumaat (25 Mac).

Hamzah berkata walaupun mereka mendakwa cintakan negara, namun mereka tidak sedar bahawa SOSMA dilaksanakan selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

“Apabila ISA dimansuhkan, jenayah terancang menyaksikan peningkatan. Ketika itulah kita menyedari perlu ada instrumen untuk memeranginya.”

“Akhirnya, kami berkompromi dengan melaksanakan tempoh tahanan selama 28 hari,” katanya sambil menambah bahawa prosedur penahanan tempoh itu tidak lagi sah pada Julai tahun ini.

Beliau berkata ini bermakna jika mana-mana sindiket besar dipatahkan, pihak berkuasa perlu menggunakan Kanun Tatacara Jenayah dan membawa mereka ke hadapan Majistret.

“Apa yang akan berlaku? Penjenayah mungkin boleh memusnahkan bahan bukti.

“Inilah sebabnya tempoh tahanan 28 hari perlu supaya kita dapat mencari rantaian bukti,” katanya.

Hamzah berkata beliau kesal dengan tindakan beberapa Ahli Parlimen kerajaan meninggalkan Dewan Rakyat.

“Saya tahu ada di antara mereka yang telah berada di dewan. Saya boleh namakan mereka. Mereka hanya keluar ketika pengundian bermula. Itu tidak adil,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment