Oleh Yusoff A. Shariff
Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz berkata kerajaan sekarang tidak lagi mempunyai asas moral untuk terus menerajui negara setelah tewas dalam undian rang undang-undang kerajaan di Dewan Rakyat pada Rabu (22 Mac).
Beliau berkata walaupun ada memorandum persefahaman (MOU) antara Pakatan Harapan dan kerajaan, namun politik adalah mengenai persepsi.
Nazri menyuarakan demikian semasa perbahasan rang undang-undang meminda Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat pada Khamis (23 Mac).
Beliau selanjutnya menyerahkan kepada parti (UMNO) untuk memutuskan perkara tersebut.
Menurut Nazri isu tersebut bukan keputusannya tetapi keputusan partinya, dan beliau akan akur
Apa yang diperkatakan beliau bermaksud sukar bagi kerajaan untuk terus berfungsi kerana telah hilang landasan moral.
“Jika mereka rasa mereka perlu mengembalikan mandat kepada rakyat untuk meminta pengundi membuat keputusan, itu hak mereka kerana kita kalah dan kerana MOU tidak diikuti,” tambahnya.
Beliau merujuk kepada amalan di England di mana mandat dikembalikan kepada rakyat sekiranya kerajaan gagal meluluskan usul atau undang-undang di Parlimen.
Pada Rabu, usul yang dibentangkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk melanjutkan penguatkuasaan Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selama lima tahun lagi gagal selepas Dewan Rakyat mengundi menentangnya.
Susulan itu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun mengumumkan pengundian blok yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen mengundi dan 86 menentang, manakala 50 Ahli Parlimen tidak hadir.
MOU dwi-partisan yang ditandatangani antara kerajaan dan Pakatan Harapan tahun lepas sepatutnya berkuat kuasa sehingga 31 Julai tahun ini.
Antara perjanjian di bawah MOU itu ialah Parlimen tidak boleh dibubarkan sebelum 31 Julai demi kestabilan politik.
-BTS Media