PENYANYI dan gitaris rock remaja Thailand, Nene Royal, mencipta sejarah apabila muncul juara America’s Got Talent (AGT), sekali gus mencetuskan sambutan hangat di tanah airnya.
Remaja berusia 16 tahun yang nama sebenarnya Rattikarn Amloy itu memenangi hadiah utama AS$1 juta (RM4.07 juta) selepas memukau juri dan penonton dengan persembahan gitar bertenaga serta vokal rock yang tersendiri.
Kemenangan pada 24 September itu menjadikan Nene rakyat Thailand pertama berjaya menjuarai rancangan pencarian bakat popular Amerika Syarikat berkenaan.
Kejayaan tersebut turut diraikan di Kajonkiet International School Phuket, apabila rakan sekolah dan guru berkumpul menyaksikan siaran langsung persembahan akhir Nene dari California.
Pengetua sekolah, Gareth Eynon, menyifatkan suasana ketika nama Nene diumumkan sebagai juara amat luar biasa, dengan pelajar berusia antara dua hingga 18 tahun turut bersorak meraikan kejayaan berkenaan.
Menurut Eynon, bakat besar Nene tidak pernah menjadikannya seorang yang mahu sentiasa menjadi tumpuan, malah dia turut gemar membantu dan memberi semangat kepada pelajar lain yang baru berjinak-jinak dalam bidang muzik.
Beliau berkata sikap rendah diri dan kesediaan Nene menyokong rakan-rakannya menjadikannya contoh yang baik kepada pelajar lebih muda.
Dalam persembahan final AGT, Nene bukan sahaja menyanyi sambil bermain gitar, malah bergandingan dengan kumpulan rock terkenal Amerika Syarikat, Linkin Park.
Sebaik sahaja diumumkan sebagai juara, Nene dilaporkan rebah ke pentas akibat terlalu terharu sebelum mengakui bahawa dirinya amat gembira dan emosional dengan kemenangan itu.
Nene sebelum ini menarik perhatian besar di Thailand menerusi persembahan lagu rock alternatif seperti Zombie oleh The Cranberries dan Black Hole Sun oleh Soundgarden, yang tular di media sosial.
Remaja kelahiran Phuket itu juga pernah membuat persembahan bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, pada bulan Julai lalu.
Anutin yang berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Nene.
Menurut timbalan jurucakap kerajaan, Ploythalay Laksameesaengjan, perdana menteri memuji bakat dan dedikasi Nene yang disifatkan telah mengharumkan nama Thailand.
Nene sebelum ini mendedahkan bahawa dia mula bermain gitar ketika berusia tujuh tahun dan kebanyakannya belajar sendiri dengan menonton video dalam talian.
Bakatnya kemudian membolehkannya memperoleh biasiswa muzik untuk melanjutkan pengajian di sekolah antarabangsa swasta berkenaan.
Dalam satu temu bual dengan AGT, Nene berkata sentuhan pertamanya pada gitar membuatkannya jatuh cinta kepada muzik dan membayangkan dirinya sebagai seorang bintang rock wanita.
Pasar malam di Phuket tempat Nene mula mengasah bakatnya turut meraikan kejayaan tersebut dan menyifatkannya sebagai inspirasi kepada orang lain untuk mengejar impian masing-masing.
Sementara itu, Eynon berkata beliau belum tahu bila Nene akan kembali ke sekolah kerana kemenangan tersebut membuka peluang yang amat luas untuk masa depannya.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa pihak sekolah akan terus berada di belakang Nene dan menyokong perjalanan karier muziknya.
-BTSMedia.my



