BTS Media

Kewujudan piramid pra-sejarah Gunung Padang mungkin ubah sejarah manusia

GAMBAR ATAS dilesenkan melalui Wikimedia Commons / RaiyaniM, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>

 

Oleh Zainal AS Rashid

SEJAK sekian lama piramid di Mesir dianggap sebagai struktur yang sangat kuno. Pada zaman Cleopatra, piramid itu semua sudah pun berusia ribuan tahun. Tetapi, kajian terbaharu kini mendedahkan bahawa terdapat sebuah piramid lain mungkin lebih tua daripada yang ditemukan di Mesir, dan ia mungkin mengubah sejarah peradaban manusia.

Para penyelidik mengatakan bahawa Gunung Padang, sebuah piramid di Jawa barat, Indonesia didapati berusia sekurang-kurangnya 16,000 tahun. Ini bermakna ia lebih kurang 10,000 tahun lebih tua daripada piramid Djoser di Mesir yang selama ini dipercayai sebagai yang tertua di dunia, lapor VICE.

Gunung Padang adalah sebuah struktur berbentuk piramid yang dikelilingi tanah berteres, dihiasi batu, dan dibina di atas gunung berapi yang tidak lagi aktif.

Lokasi tersebut kini diakui sebagai tapak kuno. Tapi usianya masih dibahaskan.

Sebahagian besar anggaran usianya mengunjurkan tapak tersebut adalah kurang daripada 2,000 tahun, tetapi ahli geologi Indonesia, Danny Hilman Natawidjaja berkata bahawa tapak tersebut jauh lebih tua.

Sepuluh tahun lalu, Natawidjaja menarik perhatian Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, yang mengarahkan supaya ditubuhkan satu pasukan khusus untuk mengkaji tentang sejarah piramid itu. Natawidjaja adalah antara pengkaji yang mengambil bahagian.

Gunung padang di Jawa Barat, Indonesia.

Penemuan Natawidjaja menjadi kontroversi kerana ia mencadangkan bahawa tamadun Zaman Batu yang tidak diketahui telah lebih awal mencipta struktur berbentuk piramid begitu besar, seperti Gunung Padang.

”Orang ramai menganggap zaman prasejarah adalah primitif, tetapi monumen ini membuktikan perkara itu salah,” katanya pada 2013.

Sejak itu, hasil kajian pasukan petugas itu telah mendedahkan sedikit demi sedikit apa yang sebenarnya.

Bulan lalu, kumpulan tersebut telah menerbitkan satu kajian dalam jurnal Archaeological Prospection yang menyimpulkan bahawa bahagian tertua Gunung Padang berusia 27,000 hingga 16,000 tahun. Ia berdasarkan pelbagai ujian, termasuk penggunaan kaedah tomografi kerintangan elektrik, radar penembusan tanah, tomografi seismik, dan pensampelan teres, antara kaedah lain.

Dengan menggunakan teknik-teknik ini dan dibantu hasil kajian tanah runtuh di satu sisi struktur yang menurut penyelidik mengungkapkan lapisan struktur piramid baharu dan jauh lebih awal terbina, para penulis kertas tersebut menyimpulkan bahwa Gunung Padang dibangunkan secara berperingkat selama ribuan tahun.

Para penyelidik berkata bahawa “kajian ini memberi penerangan tentang penggunaan kemahiran batu sejak zaman glasier terakhir,” dan “mencabar kepercayaan konvensional bahawa tamadun manusia dan pembangunan teknik pembinaan maju hanya muncul semasa tempoh hangat Holocene awal atau permulaan Neolitik, dengan kemunculan pertanian kira-kira 11, 000 tahun lalu. Sebaliknya, mereka mengatakan bahawa bukti dari Gunung Padang menunjukkan bahawa teknik pembinaan termaju telah wujud sebelum pertanian diguna pakai.

Natawidjaja dan kumpulannya berkata, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengungkapkan maklumat lanjut tentang Gunung Padang.

Pendedahan oleh Natawidjaja pasti mendorong para penyelidik antarabangsa mengunjungi tapak kuno itu untuk menilai secara bebas apa yang ditulis dalam kertas kerja tersebut.

Walaupun begitu, ini adalah cadangan yang menarik tentang bagaimana keberadaan manusia sebenarnya pada masa sebelum sejarah direkodkan.

-BTS Media