PENCALONAN Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia dikecam hebat oleh barisan pemimpin muda PAS, yang menyifatkan ia sebagai penghinaan terhadap masyarakat Muslim di Malaysia dan dasar menyokong Palestin.
Adams, yang merupakan seorang penyokong tegar Presiden Donald Trump pernah mengundang kontroversi kerana sejarah pendirian anti Islamnya, dan sokongan tegar kepada Israel.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar, dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa menerima Adams sebagai wakil diplomatik AS akan dilihat sebagai mencabul maruah Malaysia.
Beliau menyorot tindakan Adams yang pernah dilaporkan memaksa sebuah restoran di AS supaya memecat seorang pelayan wanita hanya kerana memakai pin “Free Palestine”.
Menurut Sukri dalam hantaran di Facebook, sebagai sebuah negara majoriti Muslim yang menegakkan keadilan dan solidariti dengan golongan tertindas, Malaysia tidak boleh menerima pelantikan individu yang secara terbuka menyasarkan penyokong Palestin dan mempersendakan ekspresi solidariti terhadap perjuangan Palestin.
Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Amanah, Mus’ab Muzahar, turut senada, menyifatkan pelantikan Adams sebagai penghinaan kepada maruah dan dasar luar negara.
Beliau menekankan bahawa Malaysia menjunjung kedaulatan, keamanan serantau, dan solidariti dengan rakyat yang tertindas, terutamanya Palestin.
Mus’ab berkata, membenarkan Adams menjadi Duta AS akan membuka pintu kepada “agenda toksik” dan “politik kebencian” AS di Malaysia, dan oleh itu pelantikan itu harus ditolak secara tegas di bawah Artikel 4 Konvensyen Vienna.
Kedua-dua pemimpin muda ini menggesa Wisma Putra supaya menggunakan hak di bawah Konvensyen Vienna mengenai hubungan diplomatik, yang membenarkan negara negara tuan rumah menolak calon duta dianggap tidak sesuai atau berpotensi mengganggu keharmonian domestik.
Mereka menggesa kerajaan menolak pencalonan Adams dan menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa Malaysia tidak akan menjadi platform untuk normalisasi Zionis atau medan ujian bagi ekstremisme Islamofobia.
Adams, yang merupakan warganegara AS berasal dari Australia, aktif dalam kempen pilihan raya AS 2024.3
Pencalonannya telah diserahkan kepada Senat AS pada 9 Julai lalu dan sejak itu telah menimbulkan kritikan berhubung sejarah komen dalam taliannya yang menghasut, termasuk kenyataan menyasarkan umat Islam.
Pelantikan kontroversi ini menandakan perubahan ketara daripada kebiasaan Washington menghantar diplomat ke Malaysia yang lebih memahami dan berpendirian pragmatik tentang dasar luar negara
Duta AS ke Malaysia sekarang, Edgard D Kagan, memulakan perkhidmatannya lebih setahun yang lalu dan masih kekal dalam jawatannya buat masa ini.
-BTS Media