BTS Media

10 bekas Presiden Majlis Peguam persoal tindakan EXCO Negeri Sembilan terhadap Tuanku Muhriz

SEPULUH bekas Presiden Majlis Peguam mempersoalkan tindakan EXCO Negeri Sembilan yang mengumumkan penyingkiran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, pada 16 September lalu.

Mereka mendakwa tindakan itu menimbulkan persoalan serius dari sudut perlembagaan dan keluhuran undang-undang, selain mendakwa ia dibuat tanpa alasan yang dinyatakan, proses sewajarnya atau siasatan.

Dalam kenyataan bersama bertarikh 21 September 2026, mereka berkata proses penyingkiran seorang pemerintah Negeri Sembilan dikawal oleh Artikel 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, termasuk keperluan mengadakan siasatan penuh dan menyeluruh oleh Undang.

Bagaimanapun, mereka mendakwa tiada bukti menunjukkan siasatan sedemikian pernah dijalankan, manakala tiada pertuduhan atau alasan salah laku terhadap Tuanku Muhriz diketahui umum.

Mereka turut mendakwa Tuanku Muhriz tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang dakwaan terhadap baginda atau diberikan peluang untuk didengar.

Kenyataan itu juga mempersoalkan kesahihan Proklamasi bertarikh 19 April 2026, termasuk dakwaan Menteri Besar, Datuk Haji Ismail Lasim, menandatangani dokumen berkenaan di bawah paksaan dan kemudiannya membuat laporan polis.

Mereka berkata persoalan timbul kerana proklamasi itu bertarikh 19 April tetapi Ismail hanya menandatanganinya pada 3 Ogos 2026, sedangkan beliau bukan Menteri Besar pada tarikh tersebut.

Mereka seterusnya mendakwa EXCO tidak mempunyai mandat, bidang kuasa atau kuasa perlembagaan untuk menyingkirkan seorang pemerintah negeri.

Mereka turut berkata ketidakabsahan proklamasi berkenaan telah disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang serta Jabatan Peguam Negara, manakala Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dikatakan bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara dan enggan meneruskan proses pewartaannya.

Kesemua 10 bekas Presiden Majlis Peguam itu menggesa Kerajaan Persekutuan campur tangan bagi menyelesaikan isu berkenaan serta menyeru semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Mereka turut menegaskan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah, sambil memberi amaran bahawa perkembangan itu boleh menjadi duluan (precedent) terhadap sistem raja berperlembagaan.

Kenyataan itu ditandatangani Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Ragunath Kesavan, Lim Chee Wee, Christopher Leong, George Varughese, Salim Bashir dan Karen Cheah Yee Lynn.

Press Statement.An Assault on the Constitutional Sovereignty of the Negeri Sembilan Monarchy and the Rule of Law

-BTSMedia.my

Leave a Comment