UMNO melancarkan Dana Solidariti Najib Razak bagi mengumpul sumbangan untuk membantu Najib Razak melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya, susulan keputusan membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, berkata kutipan itu bertujuan meringankan beban Najib dalam melunaskan jumlah denda tersebut.
Beliau menggesa kepimpinan, ahli dan penyokong UMNO serta orang ramai yang ingin membantu supaya menyumbang secara sukarela melalui saluran rasmi yang ditetapkan.
Menurutnya, proses kutipan itu akan dilaksanakan secara telus, teratur dan mengikut peruntukan undang-undang.
Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penubuhan dana tersebut mencerminkan keprihatinan dan solidariti UMNO serta rakyat Malaysia yang mahu memberikan sokongan kepada Najib.
Beliau turut mengalu-alukan sumbangan daripada pemimpin, ahli UMNO dan orang ramai mengikut kemampuan masing-masing.
Dalam pada itu, Zahid menyifatkan keputusan membenarkan Najib menjalani tahanan rumah sebagai sesuatu yang amat bermakna kepada bekas perdana menteri itu, keluarganya dan UMNO.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas keputusan berkenaan.
Zahid berkata, sejak awal lagi, UMNO mengambil pendirian untuk memperjuangkan permohonan berkenaan melalui saluran yang sewajarnya dengan penuh hormat dan rendah hati.
Katanya, UMNO akan terus berpegang kepada prinsip menghormati institusi Raja-Raja Melayu, keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang dalam menangani perkembangan berkaitan Najib.
Menurut beliau, keputusan berkenaan memberikan kelegaan besar kepada Najib dan keluarganya, selain akan dikenang dengan penuh penghargaan oleh keluarga besar UMNO.
Zahid pada masa sama mengingatkan semua ahli UMNO supaya menerima perkembangan itu dengan rasa syukur, menjaga adab ketika mengeluarkan kenyataan serta menghormati segala proses dan saluran yang telah ditetapkan.
-BTSMedia.my



