BTS Media

Apakah Zahid perlu letak jawatan kerana sokong tahanan rumah bagi Najib?

SEORANG ahli parlimen kerajaan hari ini mempersoalkan tindakan timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi menandatangani afidavit menyokong permohonan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak untuk menjalani hukuman di bawah tahanan rumah.

Sambil menyifatkan tindakan itu dilihat sebagai mencabar kerajaan, ahli parlimen PKR Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mencadangkan agar Zahid mencontohi Musa Hitam dengan meletak jawatan daripada kabinet.

Dalam satu kenyataan panjang lebar, Hassan memetik peletakan jawatan bekas timbalan perdana menteri pada 1986 kerana tidak bersetuju dengan keputusan pentadbiran perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad dan bertanya sama ada Zahid bersedia mengambil tindakan yang sama, lapor Malaysiakini.

Beliau bertanya, apakah implikasi undang-undang seorang timbalan perdana menteri yang kini dalam pentadbiran dan presiden UMNO yang merupakan parti komponen Kerajaan Perpaduan bersumpah melalui afidavit dalam prosiding semakan kehakiman mencabar keputusan kerajaan, memandangkan timbalan perdana menteri adalah sebahagian daripada kabinet?

“Semakan kehakiman ialah permohonan oleh satu pihak, sama ada individu, organisasi, syarikat atau perbadanan yang memohon kepada mahkamah untuk menyemak keputusan atau tindakan diambil oleh kerajaan.

“Jika perdana menteri keenam (Najib) memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap kerajaan dan menamakan beberapa responden terdiri daripada beberapa menteri kerajaan, termasuk peguam negara, pengarah penjara, dan Lembaga Pengampunan, ia  bermakna pemohon mencabar keputusan Lembaga Pengampunan dan kerajaan dengan dakwaan dan tuduhan bahawa keputusan yang dibuat oleh lembaga itu telah diputuskan secara salah. Ini bermakna kerajaan membuat keputusan salah.

Zahid menyokong dakwaan Najib mengenai perintah tambahan diraja supaya bekas perdana menteri itu menjalani tahanan rumah dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April.

Semakan kehakiman Najib menyasarkan tujuh responden termasuk menteri dalam negeri, komisioner agung penjara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri, dan kerajaan.

Hassan kemudian bertanya apakah implikasi undang-undang dan etika, seperti prinsip tanggungjawab kolektif jika timbalan perdana menteri menjarakkan diri daripada keputusan Lembaga Pengampunan.

“Pada tahun 1986 terdapat duluan (undang-undang)  di mana Musa Hitam meletak jawatan sebagai timbalan perdana menteri serta menteri dalam negeri, dan berundur dari kabinet kerana tidak bersetuju dengan pentadbiran Mahathir.

“Sehingga hari ini, orang ramai menghormati tindakan berprinsip yang dilakukan oleh Musa.

“Jadi, adakah timbalan perdana menteri Kerajaan Perpaduan sekarang, yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan dan Lembaga Pengampunan, perlu mencontohi tindakan beretika dan berprinsip Musa?” tanya Hassan.

Beliau berkata mengikut Perlembagaan Persekutuan, fungsi dan tanggungjawab menteri kabinet termasuk perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri adalah mereka bertindak secara kolektif dan bertanggungjawab bersama.

“Sebarang keputusan kabinet adalah keputusan bersama yang semestinya dipertahankan dan mereka dipertanggungjawabkan bersama.

“Prinsip yang perlu digunakan ialah prinsip rakit terikat dengan baik yang kekal bertaut ketika air pasang atau surut,” kata Hassan.

-BTS Media

Leave a Comment