KETEGANGAN di barat Arab Saudi memuncak susulan amaran kecemasan mengejut yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan mengenai potensi ancaman bahaya di tiga bandar utama iaitu Jeddah, Makkah dan Taif, sekali gus memaksa penduduk segera berlindung.
Menurut laporan agensi berita Anadolu yang memetik Pertahanan Awam Arab Saudi menerusi Platform Amaran Awal Kebangsaan untuk Kecemasan, amaran itu dikeluarkan tatkala konflik bersenjata antara Riyadh dan kumpulan Houthi dari Yaman dilaporkan semakin meruncing. Pihak Houthi sebelum ini memperhebat serangan peluru berpandu serta dron ke atas bandar dan infrastruktur negara berkenaan, yang kemudiannya dibalas dengan serangan udara tentera Saudi ke atas kedudukan kumpulan terbabit.
Meskipun sifat sebenar ancaman tidak diperincikan, pihak berkuasa mengarahkan orang ramai supaya tidak panik dan segera mencari lokasi selamat, khususnya di dalam bangunan atau bilik terlindung yang jauh daripada tingkap sehingga keadaan reda.
Penduduk turut dilarang berada di kawasan terbuka, balkoni serta bumbung bangunan, manakala mereka yang berada di luar diseru segera berlindung di premis terdekat atau di sebalik penghadang kukuh. Bagi pengguna jalan raya, arahan dikeluarkan agar mereka memberhentikan kenderaan jauh dari jambatan dan bangunan tinggi, selain orang ramai digesa mengelak sebarang perhimpunan serta hanya merujuk saluran rasmi bagi perkembangan lanjut.
-BTSMedia.my



