ORANG ramai termasuk pempengaruh media sosial diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri berhubung isu membabitkan komuniti Rohingya dan penempatan mereka.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Noor Hisam Nordin, berkata sebarang isu berkaitan komuniti berkenaan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Imigresen.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau memerlukan tindakan pihak berkuasa, termasuk berhubung kewujudan penempatan Rohingya, hendaklah membuat laporan kepada polis dan tidak cuba menyelesaikannya sendiri.
Katanya, penyebaran kandungan yang bersifat provokatif atau negatif mengenai Rohingya di media sosial ketika ini juga membimbangkan kerana ia berpotensi mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
Noor Hisam berkata orang ramai tidak seharusnya membiarkan emosi mengatasi pertimbangan sehingga melampaui batas atau mengganggu ketenteraman awam.
Menurutnya, tanggungjawab utama polis adalah memastikan keamanan dan ketenteraman awam tanpa mengira sama ada sesuatu isu itu membabitkan kaum, etnik atau warga asing.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan menjadikan sesuatu isu tular di media sosial, termasuk berkaitan penempatan Rohingya, bukan cara yang wajar untuk mendesak pihak berkuasa bertindak lebih pantas.
Sebaliknya, katanya, sebarang maklumat hendaklah disalurkan terus kepada polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut undang-undang.
Noor Hisam berkata tindakan sendiri hanya boleh membawa kesan buruk dan menimbulkan masalah baharu.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Universiti Malaysia Kelantan hari ini.
-BTSMedia.my



