BTS Media

Polis Perak teliti isu anggota keluar belanja sendiri untuk tugasan

GAMBAR: Polis Perak.

 

LENGGONG: Polis Perak sedang meneliti isu kebajikan anggota Balai Polis Pulau Pangkor di Pulau Pangkor yang dikatakan perlu mengeluarkan belanja sendiri dalam melaksanakan tugas khususnya berkaitan pengangkutan air.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata ia bagi memastikan tahap keperluan termasuk pemberian elaun tambahan khas bagi pengangkutan ke tanah besar, selain penyediaan kemudahan pengangkutan air khususnya bot bagi anggota dan pegawainya yang bertugas di balai terbabit.

Beliau berkata pihaknya ada menerima aduan berhubung isu yang berbangkit termasuk jika anggota perlu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dengan biaya sendiri.

Katanya, penelitian dijalankan dengan mengambil kira kesesuaian serta keadaan penugasan yang anggota balai itu lakukan memandangkan mereka sering berulang-alik daripada pulau itu ke tanah besar di Lumut.

“Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Manjung untuk mengambil tindakan bersesuaian mengambil kira pelbagai faktor” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita ke-9 PDRM Perak iaitu Taman Bukit Senyum, di sini, semalam.

Mohd Yusri ditanya mengenai permohonan anggota Balai Polis Pulau Pangkor untuk mendapatkan elaun tambahan berikutan peningkatan harga tiket feri dan parkir kenderaan di Jeti Marina kepada RM149 sebulan dan perlu mengeluarkan belanja sendiri.

Sebelum ini parkir khas percuma diberikan syarikat yang menyelenggarakan jeti itu kepada anggota polis yang bertugas di Pulau Pangkor.

Balai Polis Pulau Pangkor juga tiada kemudahan pengangkutan air untuk menghantar tahanan atau orang kena tahan (OKT) pada waktu malam ke lokap IPD Manjung.

Keadaan itu menyebabkan anggota polis akan menghantar OKT dengan membayar bot nelayan antara RM50 hingga RM70.

Leave a Comment