PRESIDEN China Xi Jinping mencadangkan supaya negara-negara BRICS mewujudkan zon kecerdasan buatan (AI) sumber terbuka bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan teknologi berkenaan.
Cadangan itu dikemukakan Xi dalam sidang kemuncak BRICS yang berlangsung di New Delhi hari ini, ketika persaingan global dalam teknologi AI semakin sengit.
Menurut laporan penyiar negara China, CCTV, Xi berkata China bersedia mengetuai usaha mewujudkan zon berkenaan sebagai sebahagian daripada inisiatifnya untuk memastikan pembangunan AI lebih terbuka dan inklusif.
Beliau turut mencadangkan kerjasama dalam pembangunan serta penggunaan model bahasa besar (LLM), selain penubuhan program penyelidikan dan latihan khusus berkaitan AI untuk negara anggota BRICS.
Usaha itu, katanya, bertujuan membentuk ekosistem AI yang lebih terbuka dan membolehkan negara-negara anggota berkongsi kepakaran serta memanfaatkan teknologi tersebut secara bersama.
Cadangan Xi dibuat ketika syarikat-syarikat teknologi China semakin menonjol dalam pembangunan model AI sumber terbuka, yang membolehkan kod asasnya diakses dan diubah suai oleh pengguna.
Sebaliknya, banyak pembangun AI di Amerika Syarikat memilih pendekatan lokrk yang lebih tertutup terhadap teknologi dan model mereka.
Xi turut menggesa pembentukan rangka kerja tadbir urus AI global luas dan berasaskan konsensus bagi menangani cabaran yang timbul daripada perkembangan teknologi tersebut.
BRICS yang merangkumi China, Rusia dan India pada asalnya ditubuhkan pada tahun 2009 sebagai platform negara-negara ekonomi sedang pesat membangun untuk meningkatkan pengaruh mereka dalam institusi global yang selama ini banyak didominasi kuasa Barat.
Cadangan Xi itu juga dibuat ketika beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bulan ini, dengan isu tadbir urus AI berpotensi menjadi antara perkara yang dibincangkan.
-BTSMedia.my



