BTS Media

Permohonan pengampunan Najib tidak dipertimbang

PERMOHONAN pengampunan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, tidak dipertimbangkan buat masa ini dan ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung di Putrajaya hari ini.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) JPM, Lembaga Pengampunan bersetuju menangguhkan permohonan Najib untuk pengampunan ke mesyuarat akan datang.

Mesyuarat itu turut menyaksikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenankan pembebasan 65 banduan.

JPM berkata semua banduan bukan warganegara yang dibebaskan menerusi keputusan berkenaan perlu dihantar pulang ke negara masing-masing dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.

Sebelum ini, terdapat laporan bahawa permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah dijangka antara perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Najib, 73, kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta milik SRC International.

Beliau pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, sebelum Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara kepada enam tahun serta denda kepada RM50 juta.

Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022.

Pada 22 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Alice Loke, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman yang telah dikurangkan di bawah tahanan rumah.

Najib kemudian menarik balik rayuannya terhadap keputusan berkenaan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment