LALUAN kiri Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Kilometer 263.6 berhampiran Terowong Menora akan ditutup sejauh kira-kira satu kilometer sebagai langkah keselamatan susulan kejadian tanah runtuh.
Ketua Polis Perak, Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata penutupan itu membabitkan jajaran antara Kilometer 262.8 hingga Kilometer 263.8 dan akan ditandakan menggunakan kon keselamatan.
Beliau berkata setakat ini, laluan kontra belum diaktifkan, manakala pergerakan trafik di kawasan berkenaan dipantau secara berterusan mengikut keadaan semasa di lokasi.
Menurutnya, kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan vista berhampiran akan ditumpukan ke lokasi kejadian bagi membolehkan pemantauan berterusan terhadap kawasan tanah runtuh serta aliran trafik di laluan berkenaan.
Mohd Alwi berkata polis bersama PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dan agensi berkaitan turut meneruskan pemantauan bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.
Pengguna dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati, mematuhi arahan petugas serta papan tanda keselamatan dan memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan berkenaan.
Semalam, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan kejadian runtuhan cerun di Kilometer 263.6 arah selatan itu menyebabkan kesesakan trafik sejauh 15 kilometer antara Terowong Menora dan Ipoh.
Menurut LLM menerusi hantaran di X, kesesakan pada awalnya hanya membabitkan kira-kira empat kilometer sebelum bertambah panjang susulan kerja-kerja pembersihan di lokasi.
-BTSMedia.my



