BTS Media

Tanah runtuh Taman United, KL: Penduduk dipindahkan segera

SATU kejadian tanah runtuh sepanjang kira-kira 60 meter yang berlaku di Jalan Sepadu 7, Taman United, Kuala Lumpur sekitar pukul 10 pagi tadi, telah menyebabkan beberapa kenderaan tertimbus dan memaksa pemindahan 104 unit kediaman.

Kejadian berlaku di bahagian belakang Blok B pangsapuri kos rendah Taman United, di mana sebuah kereta remuk sepenuhnya, sebuah lagi terbalik, manakala beberapa motosikal turut mengalami kerosakan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.02 pagi, dan 11 anggota, sebuah jentera Fire Rescue Tender bersama sebuah kenderaan utiliti dari Balai Bomba Seputeh dihantar ke lokasi.

Pegawai Bomba Kanan II Armdan Mahat mengesahkan bahawa runtuhan itu turut melimpah ke kawasan pangsapuri kos rendah berdekatan.

DBKL mengarahkan pemindahan penghuni Blok B dan Blok C pangsapuri tersebut. Semua yang terjejas telah ditempatkan di Pusat Komuniti Sri Petaling yang dijadikan pusat penempatan sementara.

Setakat ini, tiada kematian dilaporkan, namun pihak berkuasa terus memantau lokasi ekoran hujan lebat dan keadaan tanah yang tidak stabil.

-BTSMedia.my

Leave a Comment