BTS Media

1,000 akaun palsu, data pengundi, berita rekaan: SKMM siasat dakwaan operasi manipulasi pilihan raya guna AI

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang meneliti dakwaan mengenai satu operasi manipulasi pilihan raya secara komersial yang dikatakan menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menyasarkan pengguna di Malaysia.

SKMM berkata pihaknya memandang serius laporan terbaharu syarikat AI Amerika Syarikat, Anthropic, namun menegaskan bahawa aktiviti seperti yang digambarkan dalam laporan berkenaan bukan sebahagian daripada fungsi atau mandat suruhanjaya itu.

Dalam kenyataan pada hari Jumaat, SKMM turut menjelaskan bahawa pihaknya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan seperti yang dinyatakan dalam laporan berkenaan.

SKMM sedang mendapatkan maklumat dan penjelasan lanjut daripada pihak berkaitan bagi memastikan fakta serta memahami konteks dakwaan tersebut.

Suruhanjaya itu berkata tindakan susulan yang bersesuaian akan ditentukan berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh, termasuk kemungkinan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam bidang kuasanya.

Dakwaan itu tercetus susulan laporan ancaman siber Anthropic diterbitkan pada 10 September, bahawa syarikat berkenaan telah mengenal pasti dan menyingkirkan satu akaun menggunakan model AI Claude bagi menjalankan sebuah platform manipulasi pilihan raya komersial yang terutama menyasarkan pengguna di Malaysia.

Anthropic mendakwa operasi berkenaan mempunyai kira-kira 1,000 akaun media sosial palsu di X, sebuah laman berita palsu serta beberapa fail risikan yang direka-reka.

Menurut laporan itu, platform berkenaan menggunakan data banci dan data pilihan raya sebenar, termasuk jutaan rekod pengundi, untuk membina sistem pemprofilan pengundi mengikut kawasan pilihan raya.

Sistem itu didakwa meliputi kesemua 222 kawasan Parlimen di Malaysia dan direka untuk menyasarkan garis perpecahan sosial dan politik yang sensitif, termasuk isu kaum, agama dan institusi diraja.

Anthropic turut mendakwa platform tersebut mengurus lebih 1,000 akaun X palsu yang dilengkapi mekanisme untuk menjadikannya kelihatan seperti akaun sebenar sebelum digunakan dalam operasi pengaruh.

Antara kaedah yang dikatakan digunakan ialah memperbaharui “cookies” dan alamat IP secara berkala bagi membantu akaun terbabit mengelak daripada dikesan oleh sistem platform media sosial.

Laporan itu juga mendakwa sistem berkenaan mempunyai fungsi yang membolehkan pengendali menentukan jumlah tontonan tiruan bagi sesuatu sasaran.

Dalam satu contoh yang didakwa ditemui Anthropic, sistem berkenaan merekodkan permintaan untuk menghasilkan sehingga satu juta tontonan tiruan bagi akaun seorang pemimpin kanan kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, Anthropic menegaskan angka tersebut datang daripada sistem milik pihak yang menjalankan operasi itu dan tidak dapat disahkan secara bebas.

Selain rangkaian akaun palsu, operasi berkenaan didakwa menggunakan AI untuk menghasilkan dan menyebarkan kandungan politik serta mengendalikan sebuah laman berita palsu.

Anthropic berkata kandungan daripada laporan media sebenar turut diambil, kemudian ditulis semula beberapa kali menggunakan AI sebelum diterbitkan semula dengan nama penulis yang direka.

Menurut laporan itu, bahan daripada beberapa media asing yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negara masing-masing juga didakwa diubah dan diterbitkan semula seolah-olah ia merupakan laporan media bebas dari Malaysia.

Anthropic turut mendakwa pengendali operasi menghasilkan beberapa fail risikan palsu yang mengandungi tuduhan tidak benar terhadap seorang ahli politik pembangkang serta pertubuhan masyarakat sivil.

Syarikat AI itu berkata model Claude enggan melayan permintaan tertentu, termasuk selepas mengenal pasti salah satu dokumen tersebut sebagai berpotensi digunakan untuk tujuan fitnah politik. Namun, pengendali operasi didakwa cuba mengubah arahan dan penggunaan bahasa bagi meneruskan pembangunan sistem berkenaan.

Anthropic turut mengaitkan operasi itu dengan BBS Bilisim Teknolojileri, sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Istanbul, Turkiye.

Menurut laporan tersebut, syarikat berkenaan menawarkan platform itu sebagai perkhidmatan berbayar yang digambarkan sebagai keupayaan “influence-as-a-service”, atau perkhidmatan operasi pengaruh.

Anthropic berkata platform itu pada zahirnya dipasarkan sebagai sistem risikan siber pertahanan dan alat menangani disinformasi, tetapi siasatannya mendapati ia digunakan bagi membina infrastruktur operasi pengaruh.

Lebih penting, Anthropic mendakwa pihak di sebalik operasi tersebut pernah berusaha mendapatkan kontrak dengan pengawal selia komunikasi Malaysia.

Bagaimanapun, syarikat itu berkata pihaknya tidak menemukan bukti bahawa usaha tersebut berjaya.

Anthropic juga tidak mendedahkan siapa yang membayar untuk menggunakan platform tersebut bagi operasi yang menyasarkan Malaysia, dan tidak menyatakan sama ada ia berkaitan dengan mana-mana pilihan raya tertentu di negara ini.

Syarikat itu juga tidak menetapkan dengan tepat bila operasi berkenaan bermula atau berapa lama ia berlangsung.

Dalam penilaiannya, Anthropic mengklasifikasikan operasi tersebut sebagai Kategori Dua dalam skala Breakout, bermakna aset operasi itu tersebar merentasi beberapa platform tetapi tiada bukti ditemui bahawa kempen berkenaan berjaya menembusi komuniti pengguna sebenar secara meluas.

Anthropic berkata penggunaan Claude dalam operasi itu merangkumi pembangunan sistem sasaran mengikut kawasan pilihan raya, pembinaan serta pengurusan rangkaian akaun palsu, mekanisme mengelak pengesanan, penghasilan semula berita palsu dan pembangunan fail-fail yang direka-reka.

Sementara itu, SKMM menegaskan bahawa perlindungan orang ramai daripada kemudaratan dalam talian kekal sebagai antara tanggungjawab utamanya.

Suruhanjaya itu berkata pihaknya akan terus memastikan persekitaran dalam talian di Malaysia kekal selamat dan dipercayai, sementara meneliti maklumat yang dikemukakan Anthropic sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

-BTSMedia.my

Leave a Comment