Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) melupuskan aset institusi itu secara tidak wajar, membabitkan nilai keseluruhan lebih RM860.3 juta.
Ahli Parlimen Jerai berusia 65 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad, pada Isnin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Jamil Khir didakwa secara tidak jujur memudahkan pelupusan aset TH kepada syarikat Al-Rawda Real Estate Development and Projects Management Co Ltd dalam tiga transaksi bernilai RM42,942,074, RM288,172,134.64 dan RM529,194,561.87.
Keseluruhan transaksi berkenaan masing-masing dinyatakan bersamaan SAR44,170,000, SAR250,041,622 dan SAR471,848,615.
Pertuduhan itu melibatkan tiga kejadian yang berlaku pada 3 April 2015, 14 Disember 2016 dan 17 Ogos 2017.
Kejadian pertama didakwa berlaku di pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Aras 9, Blok D7, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.
Dua lagi kesalahan pula didakwa berlaku di pejabat sama di Aras 10, Blok A, Kompleks Islam, Putrajaya.
Jamil Khir didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, selain sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
– BTSMedia.my



