BTS Media

Bekas COO Tabung Haji gagal didakwa di mahkamah selepas dimasukkan ke hospital

PROSIDING pendakwaan terhadap bekas ketua pegawai operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, di Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini ditangguhkan selepas beliau dimasukkan ke hospital akibat mengalami sakit dada.

Adi Azuan, yang sepatutnya didakwa hari ini berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan TH, tidak hadir ke mahkamah atas faktor kesihatan.

Peguamnya, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, memaklumkan kepada Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud bahawa anak guamnya dimasukkan ke hospital sejak 31 Ogos lalu selepas mengalami sakit dada.

Beliau turut menyerahkan surat doktor kepada mahkamah yang mengesahkan keadaan kesihatan Adi Azuan dan memaklumkan bahawa anak guamnya masih belum sesuai untuk dibenarkan keluar dari hospital.

Isteri Adi Azuan, Datin Zureen Zainuddin, kemudian tampil memberikan penjelasan kepada mahkamah selepas dipanggil hakim.

Menurut Zureen, suaminya kini menjalani prosedur angiogram di Universiti Malaya Specialist Centre (UMSC) selepas sakit dada yang dialaminya menjadi semakin kerap.

Katanya, doktor menasihatkan Adi Azuan supaya dimasukkan ke hospital, manakala tempoh rawatan bergantung kepada keputusan pemeriksaan yang sedang dijalankan.

Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin berkata pihak pendakwaan tidak berhasrat mendesak supaya proses pendakwaan diteruskan pada hari ini, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.

Awang Kerisnada berkata mahkamah menerima penjelasan Zureen berhubung keadaan kesihatan suaminya.

Beliau berkata walaupun mahkamah boleh mengadakan prosiding pendakwaan di hospital, langkah itu dilihat tidak sesuai memandangkan keadaan kesihatan Adi Azuan yang agak serius.

Hakim itu kemudian menetapkan 24 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Wan Azwan turut merakamkan penghargaan terhadap pertimbangan dan keprihatinan mahkamah dalam menangguhkan prosiding berkenaan.

Sementara itu, SPRM telah membuka 14 kertas siasatan susulan laporan RCI berkaitan salah urus di TH.

Sepanjang siasatan itu, 17 individu telah ditahan, manakala 10 daripadanya direman setakat ini.

Antara individu yang ditahan termasuk bekas pengarah pelaburan TH, seorang pengarah Putrajaya Perdana, bekas pengarah Putra Perdana Construction, bekas pengerusi TH, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Maritim serta seorang bekas menteri Kabinet.

-BTSMedia.my

Leave a Comment