PRESIDEN Umno, Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak mencabar parti itu untuk keluar daripada kerajaan perpaduan, sambil menegaskan bahawa tindakan sedemikian boleh mencetuskan keperluan mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, jika Umno tidak lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan, kedudukan majoriti sedia ada perlu dinilai semula kerana ia kini turut bergantung kepada penyertaan parti-parti lain yang menjadikan keseluruhan gabungan kerajaan terdiri daripada 18 parti.
Beliau menjelaskan bahawa jumlah 112 kerusi yang menjadi asas pembentukan kerajaan selepas pilihan raya umum lalu tidak lagi mencerminkan keseluruhan sokongan yang dimiliki kerajaan ketika ini.
Menurut Ahmad Zahid, sekiranya Umno diminta meninggalkan kerajaan sehingga jumlah sokongan asal tidak lagi mencukupi, mandat baharu daripada rakyat perlu diperoleh.
Beliau berkata, keadaan itu boleh diselesaikan melalui dua kaedah, sama ada mengadakan pilihan raya umum baharu atau menyingkirkan Umno secara rasmi sebelum usul undi tidak percaya dibawa di Dewan Rakyat.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika menggulung perbahasan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2026.
Dalam pada itu, beliau turut mencabar pihak yang benar-benar berani supaya mengadakan pilihan raya umum lebih awal.
Cabaran berkenaan disambut sorakan perwakilan yang melaungkan perkataan “bubar” secara serentak, sekali gus mencetuskan suasana hangat ketika sesi penggulungan berkenaan.
-BTSMedia.my



