SEORANG guru tidak menyangka panggilan telefon daripada isterinya sebelum berlepas menaiki helikopter ke kawasan pedalaman Sarawak menjadi perbualan terakhir mereka.
Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, berkata beberapa jam selepas berbual dengan isterinya, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 32, dia menerima panggilan daripada Kementerian Kesihatan yang memaklumkan wanita itu terbabit dalam nahas helikopter dan meninggal dunia.
Menurutnya, Dr Ainul terlebih dahulu menghubunginya untuk memberitahu bahawa dia akan menaiki helikopter bagi menjalankan tugasan perubatan di kawasan pedalaman.
Faiz berkata isterinya sememangnya kerap menaiki helikopter untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan terpencil, malah perjalanan seumpama itu dilakukannya hampir setiap hari.
Sehari sebelum nahas, katanya, Dr Ainul turut menaiki helikopter ke kawasan pedalaman, namun terpaksa berpatah balik akibat keadaan berjerebu.
Faiz yang juga seorang guru berkata dia sukar menerima berita mengenai kematian isterinya dan sehingga kini tidak mampu membaca laporan berkaitan kejadian itu.
Dia menyifatkan tragedi berkenaan sebagai ujian berat buat keluarganya, yang kini berada di sebuah hotel di Miri sambil menunggu perkembangan lanjut mengenai urusan mangsa.
Katanya, dia juga tidak dapat dibawa ke lokasi nahas kerana kawasan berkenaan hanya boleh dicapai menggunakan helikopter.
Faiz berharap segala urusan membabitkan isterinya serta mangsa lain dipermudahkan dan keluarganya diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan berkenaan.
Dalam kejadian petang semalam, sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang dilaporkan terhempas dan terbakar berhampiran Long Lellang Short Takeoff and Landing Port (STOLport), Ulu Baram, Sarawak.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu daripada Flight Information Service pada pukul 3.58 petang.
Selain Dr Ainul, mangsa lain ialah Kapten Zainol Afiq, PPP Alexson Adit, SN Debra Moset dan SN Jessie Paya.
-BTSMedia.my



