BTS Media

Helikopter BO-105 terhempas di Sarawak

MARUDI: Polis menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas sebuah helikopter BO-105 terhempas berhampiran Lapangan Terbang STOL Long Lellang di Marudi, Sarawak, petang ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, berkata pasukan SAR sedang menuju ke lokasi kejadian, namun perjalanan melalui jalan darat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi dijangka mengambil masa kira-kira 10 jam.

Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan bagi menentukan keadaan semua lima individu yang berada dalam helikopter itu, termasuk juruterbang.

Mohamad Zainal berkata usaha untuk menghantar pasukan ke lokasi melalui udara turut dipertimbangkan bagi mempercepatkan operasi, tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Katanya, penerbangan berkenaan akan berlepas dari Pangkalan Udara Kuching, namun keadaan jerebu memerlukan kelulusan CAAM sebelum operasi udara boleh dijalankan.

Terdahulu, CAAM mengesahkan kejadian membabitkan helikopter berpendaftaran 9M-LLF yang sedang menjalankan perkhidmatan Flying Doctor ketika kejadian.

Helikopter BO-105 ialah pesawat ringan berenjin berkembar yang pada asalnya dibangunkan di Jerman dan digunakan secara meluas dalam operasi awam serta ketenteraan, termasuk misi menyelamat udara.

-BTSMedia.my

Leave a Comment