BTS Media

Helikopter Fennec masuk haluan AW139 punca utama nahas helikopter TLDM

LAPORAN lembaga siasatan nahas dua helikopter tentera laut di Lumut, merumuskan punca utama kejadian itu disebabkan sebuah daripada pesawat tidak berada pada ketinggian dan haluan ditetapkan.

Menerusi yang laporan akhir dikeluarkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM hari ini, pesawat dinaiki tiga kru itu telah memasuki laluan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) menyebabkan kedua-duanya bergesel sebelum terhempas.

“Faktor sekunder ialah channelized attention oleh kru pesawat AW139 yang tertumpu ke arah penukaran haluan telah menghadkan reaksi mengelak pelanggaran.

“Laporan akhir ini selari dengan laporan awal yang telah dikeluarkan sebelum ini. Laporan ini juga akan dihantar ke State Airworthiness Authority (SAA) untuk rekod,” katanya dalam kenyataan.

Laporan lembaga siasatan juga mengesahkan tiada isu hipoglisemia, unsur-unsur keletihan terhadap semua kru udara selain didapati tiada penggunaan bahan terlarang.

“Tiada unsur kesihatan mental direkodkan atau dikenal pasti. Kesemua kru udara terlibat disahkan secara perubatan sebagai ‘fit to fly’,” katanya.

Dalam kejadian itu, 10 anggota dan pegawai tentera laut, terdiri daripada tujuh kru AW139 dan tiga kru Fennec, terkorban selepas kedua-dua helikopter itu bergesel dan terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat bersempena Ulang Tahun TLDM ke-90 di Lumut.

Mereka yang terkorban dari pesawat ialah Muhammad Firdaus Ramli, Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Muhammad Faisol Tamadun, Noorfarahimi Mohd Saedy, Noor Rahiza Anuar dan Joanna Felicia Rohna.

Sementara itu, dari pesawat Fennec dikenal pasti Muhamad Amir Mohamad, T Sivasutan dan Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Sebuah lembaga siasatan kemudian ditubuhkan untuk mengenal pasti punca sebenar nahas tersebut.

Laporan interim pada 9 Mei lepas mengesahkan kesemua kru udara yang terlibat dalam nahas itu berada dalam keadaan yang baik untuk mengendalikan pesawat.

Kedua-dua helikopter itu turut didapati berada dalam keadaan selamat untuk terbang pada hari kejadian.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/05/30/lembaga-siasatan-dapati-2-punca-nahas-helikopter-tldm/

 

Leave a Comment