SIASATAN terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelewatan pengagihan Baja 3 kepada pesawah di Kedah mempunyai beberapa persamaan dengan siasatan terdahulu membabitkan dakwaan kartel baja padi bernilai RM1.8 bilion.
Siasatan terdahulu itu melibatkan proses perolehan dan pembekalan baja di bawah kontrak kerajaan bernilai RM1.8 bilion yang diberikan kepada sebuah organisasi di bawah seliaan kementerian bagi tempoh 30 bulan antara tahun 2021 hingga 2023.
Seperti siasatan Baja 3 sekarang, kes terdahulu turut meneliti rantaian perolehan dan pengedaran baja kepada pesawah, termasuk peranan syarikat yang dilantik untuk membekalkan baja serta bahan mentah.
Baja 3 atau Baja Sebatian Padi Tambahan 3 merupakan baja tambahan yang disediakan kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah.
Dalam siasatan terdahulu, pegawai SPRM melakukan beberapa siri serbuan di Kuala Lumpur, termasuk di ibu pejabat organisasi terbabit, kementerian berkenaan serta sembilan syarikat yang memperoleh projek berkaitan.
Organisasi berkenaan dipertanggungjawab untuk menghasilkan baja padi dan mengagihkannya kepada pesawah di seluruh negara menerusi pejabat di peringkat negeri.
Bagi memenuhi kontrak kerajaan itu, organisasi terbabit dipercayai menggunakan dua kaedah, iaitu membeli baja secara terus daripada lima pengeluar serta mendapatkan bahan mentah daripada empat syarikat lain untuk menghasilkan baja.
Siasatan SPRM ketika itu memberi tumpuan kepada dakwaan rasuah dalam proses mendapatkan baja atau bahan mentah daripada syarikat terpilih, selain kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa membabitkan ahli lembaga pengarah dalam keputusan pelantikan syarikat yang mungkin mempunyai kepentingan dengan mereka.
Dokumen berkaitan projek turut dirampas daripada kementerian, organisasi dan syarikat terbabit, manakala enam pegawai kementerian serta organisasi dipanggil untuk membantu siasatan.
Siasatan berkenaan membawa kepada pertuduhan terhadap seorang bekas pegawai Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah AS$300,000 daripada pembekal baja dari Singapura.
Nordin Ibrohim, 77, didakwa menerima AS$200,000 dan AS$100,000 daripada pengarah Sung Chang Asia Pte Ltd, Kim Jong Kwa, sebagai dorongan untuk membantu syarikat berkenaan mendapatkan pelantikan sebagai pembekal baja kepada pesawah di bawah Nafas.
Pembayaran yang didakwa itu masing-masing dibuat di sebuah bank di Plaza Mont Kiara pada 16 November dan 21 Disember 2022.
Nordin mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, siasatan terbaharu mengenai Baja 3 dibuka susulan aduan yang dikemukakan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) kepada SPRM Kedah pada 26 Ogos lalu.
SPRM memaklumkan siasatan itu memberi tumpuan kepada kelewatan pengagihan Baja 3 oleh pembekal yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memenuhi keperluan kira-kira 100,000 hektar kawasan tanaman padi di bawah MADA.
SPRM Kedah turut meneliti kemungkinan berlaku kesalahan jenayah selain kelemahan dari aspek tadbir urus yang mungkin menyumbang kepada kelewatan pengagihan baja berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini tiada petunjuk daripada SPRM bahawa siasatan Baja 3 mempunyai kaitan dengan kes terdahulu membabitkan kontrak baja padi bernilai RM1.8 bilion.
-BTSMedia.my



