BEKAS pengurus besar Felda berusia lewat 60-an dibawa ke Mahkamah Majistret di Putrajaya hari ini bagi prosiding reman berhubung siasatan salah guna kuasa membabitkan pelantikan pemaju bagi satu projek di ibu negara serta penjualan tanah milik badan berkanun itu.
Lelaki berkenaan tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.15 pagi menaiki kenderaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan memakai kemeja berkolar hijau.
Dia ditahan SPRM kira-kira pukul 4 petang semalam bersama seorang lagi lelaki berusia 50-an selepas kedua-duanya dipanggil untuk memberikan keterangan di ibu pejabat agensi antirasuah itu.
Siasatan berkenaan adalah sebahagian daripada operasi “Ops Fella” SPRM, yang dilancarkan minggu lalu bagi menyiasat dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Felda serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, berkata siasatan khas itu memberi tumpuan kepada transaksi pelaburan serta pemerolehan aset oleh pengurusan Felda dan FIC dalam tempoh 10 tahun, dari 2010 hingga 2020.
Beliau berkata sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka, enam daripadanya dibuka pada 24 Ogos lalu, manakala satu lagi kertas siasatan aktif sedang melalui proses Bantuan Guaman Bersama (MLA).
Antara perkara yang disiasat termasuk pelaburan dalam Syarikat Tataran Aras Sdn Bhd yang berpangkalan di Limbang, Sarawak, selain pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah serta pembelian Grand Plaza Service Apartments di London.
SPRM turut menyiasat penubuhan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd, pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House, selain dakwaan penyelewengan berkaitan pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).
Satu lagi kertas siasatan sedia ada berkaitan hartanah Park City Grand Plaza pula masih dibuka dan sedang dikaji secara selari menerusi proses MLA.
-BTSMedia.my



