TELUR dari Amerika Syarikat (AS) kembali berada di pasar raya Singapura selepas lebih dua dekad, namun pengguna perlu membayar harga yang jauh lebih tinggi berbanding telur biasa dari Singapura dan Malaysia.
Menurut laporan The Straits Times, telur jenama Contented Hen kini dijual di lebih 50 cawangan FairPrice selepas eksport telur AS ke republik itu disambung semula pada bulan Julai lalu.
Telur diperoleh daripada ayam yang diternak secara bebas di ladang di kawasan Midwest AS, boleh didapati di 43 cawangan pasar raya FairPrice Finest dan lapan pasar raya besar FairPrice.
Sebanyak 12 biji telur putih atau coklat jenis free-range berharga S$12.80 (RM40.80), manakala telur organik free-range pula dijual pada harga S$14.80 bagi 12 biji.
Harga itu jauh lebih mahal berbanding telur biasa dari Singapura dan Malaysia yang lazimnya dijual antara S$2.85 hingga S$4.55 bagi 10 biji di FairPrice.
Bagaimanapun, FairPrice menyifatkan kemasukan telur AS sebagai satu lagi sumber bekalan yang dapat membantu Singapura memperkukuh daya tahan bekalan makanannya.
Pengarah Urusan Produk FairPrice Group, Leroy Seow, berkata telur merupakan sumber protein penting dan penambahan bekalan dari AS akan membantu mempelbagaikan sumber makanan republik itu.
Beliau berkata rangkaian sumber yang lebih luas penting bagi memastikan keperluan harian penduduk Singapura terus tersedia dan mudah diperoleh.
Pada masa ini, FairPrice mendapatkan bekalan telur dari 10 pasaran, termasuk Singapura, Malaysia, Australia, New Zealand, Jepun dan AS.
Pengeluar telur AS sebelum ini menghentikan eksport ke Singapura pada awal tahun 2000-an selepas republik itu mengetatkan syarat import.
Bagaimanapun, keadaan berubah tahun ini selepas pegawai pertanian AS dan Agensi Makanan Singapura mencapai persetujuan mengenai piawaian pensijilan eksport serta sistem pengesanan telur sekiranya berlaku wabak penyakit.
Namun, dengan harga yang tinggi, telur ayam Amerika dijangka lebih bersaing dalam segmen premium berbanding menggantikan telur harian yang dibekalkan oleh pengeluar tempatan dan Malaysia.
Pengarah firma perunding yang berpangkalan di Singapura, YCP, Yukako Matsuka, berkata telur organik Contented Hen, yang berharga kira-kira S$1.23 sebiji, masih lebih murah berbanding sesetengah pilihan organik dari Australia dan New Zealand.
Menurutnya, pada paras harga itu, telur AS lebih sesuai dilihat sebagai pilihan premium tambahan dan bukannya pengganti telur biasa untuk pasaran massa.
Beliau menjangkakan permintaan terhadap produk itu berkembang secara beransur-ansur, khususnya dalam kalangan pengguna yang lebih mementingkan kebajikan haiwan, pensijilan organik dan kebolehkesanan sumber makanan.
Perkembangan itu sudah mula mendapat perhatian pengguna.
Seorang suri rumah, Ashley Lee, 44, dilaporkan beralih daripada telur organik Australia berharga S$19.80 kepada telur Amerika pada 5 September selepas mendapati harganya lebih murah.
Beliau berkata punca bekalan makanan serta makanan yang diberikan kepada ayam merupakan antara faktor yang diberi perhatian ketika membeli telur.
Bagaimanapun, seorang jurutera perisian, Cindy Ong, 30, kurang yakin untuk membeli telur berkenaan secara kerap kerana harganya yang agak mahal dan hanya akan mempertimbangkannya ketika ada promosi.
Telur Contented Hen itu diimport oleh N&N Agriculture menerusi perjanjian jangka panjang untuk membekalkan produk berkenaan kepada FairPrice.
Lebih banyak telur dari AS juga mungkin memasuki pasaran Singapura tidak lama lagi apabila pengimport lain, Kai Young Huat, sedang berunding untuk membekalkan telur dari sebuah lagi ladang di AS kepada FairPrice dan Sheng Siong.
Pada awal bulan ini, wakil daripada lapan pengeluar telur AS turut mengunjungi Singapura bagi mengadakan pertemuan dengan pengimport, peruncit dan pengeluar makanan.
Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan Mid-States Specialty Eggs, Sean Delano, berkata telur keluaran syarikatnya mengambil masa antara 20 hingga 24 hari untuk dihantar ke Singapura melalui laut.
Menurutnya, tempoh penghantaran yang lebih panjang tidak menjejaskan kualiti telur kerana ia disimpan dalam keadaan sejuk sepanjang perjalanan.
Bekalan telur Singapura melebihi 2.2 bilion biji pada tahun 2025, dengan Malaysia kekal sebagai pembekal luar negara terbesar.
Pada masa sama, pengeluaran ladang tempatan hanya memenuhi kurang daripada 35 peratus permintaan telur republik itu, sekali gus menjadikan kepelbagaian sumber import penting bagi menjamin bekalan makanan Singapura.
-BTSMedia.my



