BTS Media

Jerebu makin parah, darurat diisytihar di Serian

KEADAAN jerebu yang semakin memburuk di Serian, Sarawak, mendorong kerajaan mengisytiharkan darurat di kawasan berkenaan berikutan tahap pencemaran udara yang mencetuskan kebimbangan terhadap kesihatan penduduk.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, telah memberikan perkenan terhadap pengisytiharan darurat itu.

Menurut PMO, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Premier Sarawak serta agensi berkaitan berhubung keadaan kualiti udara di kawasan terjejas.

Pengisytiharan itu membolehkan langkah lebih berkesan diambil bagi melindungi kesihatan dan kebajikan penduduk yang terjejas akibat jerebu.

PMO berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan keadaan dan memastikan segala tindakan yang diperlukan dilaksanakan segera, termasuk usaha mitigasi serta penyampaian maklumat dan nasihat kesihatan kepada orang ramai.

Keadaan jerebu di Serian menjadi semakin kritikal apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melonjak kepada 519 pada Jumaat, iaitu paras tertinggi pernah direkodkan sejak episod jerebu rentas sempadan semasa mula menjejaskan Malaysia awal tahun ini.

-BTSMedia.my

Leave a Comment