Oleh Zainal AS Rashid
SEBANYAK 353 titik panas dikesan di Kalimantan dan 113 lagi di Sumatera, Indonesia yang dijangka menyebabkan jerebu di beberapa negara di bahagian selatan rantau Asean.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata jerebu dari Kalimantan akan menjejaskan beberapa negeri di bahagian timur Malaysia.
Beliau berkata keadaan yang bermula hari ini dijangka berterusan selama beberapa hari.
“Keluaran Model Trajektori Bersepadu Zarah Tunggal Hibrid Lagrangian (HYSPLIT) menunjukkan trajektori jerebu yang diramalkan untuk tempoh 72 jam, bermula dari 0000 Waktu Universal Selaras (8 pagi) pada 30 Sept, sehingga 0000 UTC (8 pagi) pada 3 Okt.
“Trajektori jerebu dari Kalimantan dijangka menjejaskan Kuching, Serian dan Samarahan (di Sarawak) dalam tempoh ramalan,” katanya.
Bagaimanapun, Helmi berkata berdasarkan Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC) melaporkan satelit imej Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan 20 Amerika Syarikat (NOAA-20) direkodkan, tiada titik panas bagi kategori Tahap Keyakinan Tinggi direkodkan di semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak.
“Di Kalimantan, terdapat 353 titik panas dikesan, manakala di Sumatera terdapat 113 titik panas,” katanya.
Sementara itu, menurut ASMC, kelihatan kepulan asap sederhana hingga tebal berpunca daripada titik panas yang dikesan di bahagian selatan Sumatera dan bergerak ke arah barat laut.
“Berdasarkan imej satelit terkini (semalam, 30 Sept), titik panas bertaburan dikesan di selatan Kalimantan dan Sumatera, manakala beberapa titik panas dikesan di Pulau Sulawesi, Jawa dan Sunda Kecil.
“Di Kalimantan, jerebu asap sederhana hingga tebal dilihat di selatan Kalimantan dan sebahagian besar Kalimantan tengah. Jerebu juga kelihatan bergerak ke timur laut dan ke timur Kalimantan,” katanya.
ASMC berkata stesen kualiti udara di bahagian selatan dan tengah Sumatera, serta di Kalimantan tengah, melaporkan tahap kualiti udara tidak sihat.
-BTS Media