BTS Media

Kebakaran semakin teruk di Israel: Ribuan dipindahkan, darurat diumumkan

WALAUPUN nampak sia-sia setakat ini, pasukan bomba Israel meneruskan usaha untuk memadamkan kebakaran dahsyat hutan berhampiran Baitulmaqdis untuk hari kedua pada hari Khamis.

Kebakaran yang bermula pada hari Rabu di sepanjang lebuh raya utama Baitulmaqdis-Tel Aviv, telah menyebabkan penutupan jalan dan pemindahan ribuan penduduk.

Bomba Israel berkata sebanyak 163 unit darat dan 12 pesawat sedang berusaha untuk mengawal api.

Pertubuhan perubatan, bencana, ambulans dan perkhidmatan darah kecemasan kebangsaan Israel Magen David Adom berkata sekurang-kurangnya 23 orang dirawat pada hari Rabu, akibat terhidu asap, dan kulit melecur, termasuk dua wanita hamil dan dua bayi di bawah usia satu tahun.

Perbadanan Penyiaran Awam Israel, Kan melaporkan bahawa 17 anggota bomba mengalami kecederaan.

Pekerja jabatan kerja raya dilapor bekerja sepanjang malam untuk membolehkan pembukaan semula jalan utama, termasuk laluan Baitulmaqdis-Tel Aviv.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang telah mengisytiharkan “darurat seluruh negara,” memberi amaran bahawa kebakaran itu akan merebak ke Baitulmaqdis.

Kerahan ribuan anggota tentera untuk membantu keadaan memaksa kerajaan membatalkan beberapa acara sambutan Hari Kemerdekaan Israel.

Pesawat tentera udara juga digunakan dalam usaha memadamkan api bagi membantu lebih 50 jentera bomba di kawasan di mana kebakaran telah merebak.

Menurut media Israel, kebakaran kini telah merebak ke kawasan berhutan berhampiran jalan utama antara Latrun dan Bet Shemesh, di mana helikopter dihantar untuk cuba memadamkan api.

Menurut polis, kebakaran yang mengakibatkan oleh suhu tinggi dan angin kencang, merebak dengan cepat, memusnahkan apa sahaja, hingga memaksa penduduk Yahudi di lima komuniti di kawasan yang dahulunya dimiliki oleh penduduk Palestin bergegas meninggalkan kediaman mereka.

Lewat hariRabu, kementerian luar negeri Israel mengumumkan bahawa pesawat pemadam kebakaran dijangka tiba dari negara sekutu Israel, termasuk Croatia, Perancis, Itali, Romania, dan Sepanyol untuk membantu dalam operasi memadam api.

-BTS Media

Leave a Comment