BTS Media

Israel haramkan azan, tutup Masjid Ibrahimi di Hebron

GAMBAR: Anadolu

 

TENTERA Israel melarang azan dilaungkan untuk solat Jumaat dari menara Masjid Ibrahimi di bandar Hebron, Tebing Barat yang diduduki Zionis.

Mereka juga menghalang penduduk Palestin daripada memasuki masjid itu untuk solat Jumaat semalam.

Pengarah Hebron Awqaf (Wakaf Islam) Ghassan Al-Rajabi, memberitahu laman berita WAFA bahawa tentera Yahudi melarang azan untuk solat Jumaat, hingga jemaah terpaksa menunaikan solat di luar premis tersebut.

Perkembangan terbaharu ini menandakan kali ke-23 berturut-turut azan diharamkan di masjid berkenaan.

Al-Rajabi juga berkata tentera Israel yang ditempatkan di pusat pemeriksaan tentera berhampiran masjid sentiasa menggeledah apa sahaja yang dibawa penduduk Islam, selain memeriksa dokumen pengenalan diri mereka.

Semalam, tentera Israel terus menutup Masjid Ibrahimi dan memperhebatkan tindakan penindasan mereka terhadap penduduk Kota Lama, dan menghalang kemasukan pekerja Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Islam dengan alasan cuti Yahudi.

Pihak berkuasa Israel menutup sepenuhnya Masjid Ibrahimi selama 10 hari setiap tahun, kononnya bagi menghormati cuti keagamaan Yahudi, dan seterusnya menafikan hak jemaah Palestin untuk bersolat.

-BTS Media

Leave a Comment