KES asma melonjak 259 peratus dalam tempoh seminggu akibat jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.
Menurut Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, data sistem pengawasan sentinel Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan 219 kes asma direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 33, berbanding 61 kes pada ME32.
Dalam tempoh sama, kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) turut meningkat 124 peratus, iaitu daripada 1,637 kepada 3,674 kes.
Dzulkefly berkata, tujuh kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) tahap tidak sihat setakat pukul 8 pagi semalam, dengan Serian, Sarawak merekodkan bacaan tertinggi iaitu 197.
Ia diikuti Kuching (185), Sri Aman (178), Samarahan (176), Sarikei (128), Sungai Petani, Kedah (126) dan Taiping, Perak (126).
Menurutnya, bacaan API antara 101 hingga 200 dikategorikan tidak sihat, manakala 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai, khususnya pesakit asma dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan, supaya mengehadkan aktiviti luar ketika keadaan berjerebu.
Orang ramai perlu memastikan meminum air mencukupi, mengelakkan aktiviti yang mendedahkan tubuh.
Mereka yang mengalami sebarang gejala dinasihat mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dengan segera.
Dzulkefly berkata demikian selepas melancarkan Wellness Hub Kuala Selangor dan program Santuni Komuniti Minda Sejahtera (K-MindSet) Kuala Selangor semalam.
Dalam perkembangan berkaitan kesan cuaca panas, beliau berkata sebanyak 90 kes penyakit berkaitan haba direkodkan di seluruh negara sehingga ME33.
Daripada jumlah itu, 71 kes membabitkan keletihan akibat haba, 14 kes strok haba dan lima kes kekejangan haba.
Sebanyak sembilan kes direkodkan pada ME33, berbanding dua pada ME30 serta masing-masing tiga kes pada ME31 dan ME32.
Beliau berkata, lapan daripada sembilan kes terbaharu itu membabitkan peserta Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor, dan hanya seorang memerlukan rawatan lanjut di wad hospital.
Menurutnya, keadaan masih terkawal dan dipantau rapat pasukan petugas perubatan.
– BTSMedia.my



