UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjelaskan bahawa khidmat akademik Dr Solehah Yaacob di institusi itu telah ditamatkan berkuat kuasa 27 April lalu, sekali gus menyebabkan beliau tidak lagi mempunyai sebarang kedudukan atau hubungan rasmi dengan universiti berkenaan.
Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP) UIAM berkata, bekas profesor linguistik itu juga tidak lagi dibenarkan menggunakan sebarang gelaran, jawatan atau pengenalan rasmi yang mengaitkannya dengan UIAM.
Menurut kenyataan universiti itu pada Ahad, larangan berkenaan turut merangkumi penggunaan gelaran atau jawatan berkaitan UIAM dalam bahan promosi, laporan media, penerbitan dan pengiklanan, seperti dilaporkan Sinar Harian.
UIAM turut menegaskan bahawa sekatan itu meliputi kandungan media sosial, bahan publisiti serta apa-apa bentuk penyebaran maklumat yang secara langsung atau tidak langsung mengaitkan Solehah dengan universiti.
Penjelasan itu, menurut UIAM, dibuat bagi memastikan gambaran yang tepat mengenai kedudukan universiti di mata masyarakat, selain memelihara integriti institusi dalam soal perwakilan akademik dalam landskap pendidikan tinggi negara.
Universiti itu berharap penjelasan mengenai status perkhidmatan dan hubungan rasmi Solehah dapat mengelakkan kekeliruan serta salah faham dalam kalangan orang ramai pada masa depan.
Nama Solehah sebelum ini menjadi perhatian pada November 2025 selepas beliau mendakwa terdapat kemungkinan orang Rom purba mempelajari teknik pembinaan kapal daripada pelaut Melayu.
Awal bulan ini pula, beliau mencetuskan perdebatan apabila mengemukakan pandangan bahawa kekayaan bijih besi di Kedah mungkin berpunca daripada hujan meteor, yang mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan akademik dan masyarakat.
-BTSMedia.my



