TIGA anggota sebuah keluarga, termasuk kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, maut selepas sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah kereta dan melanggar pejalan kaki di Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi di persimpangan lampu isyarat Maju Junction itu, seorang lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya, masing-masing berusia 25 dan 12 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Isteri lelaki berkenaan, 55, pula cedera di kepala, tangan dan kaki sebelum dikejarkan ke zon merah Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah lori Isuzu milik Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang tidak membawa muatan, sebuah Proton Saga, sebuah Inokom Matrix dan empat pejalan kaki.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 43 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit.
Beliau berkata, pemandu terbabit dipercayai dalam perjalanan untuk mengambil tahanan susulan operasi membanteras pendatang tanpa dokumen.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang menyebabkan lori berkenaan dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat merah sebelum tragedi itu berlaku.
– BTSMedia.my



