BTS Media

Takut anjing tidak halang wanita selamatkan Bruno di bulatan Melaka

KETAKUTAN terhadap anjing tidak menghalang seorang wanita daripada bertindak menyelamatkan seekor anjing sesat yang berulang kali berpusing di sebuah bulatan sibuk di Gangsa, di Melaka, kerana bimbang haiwan itu dilanggar kenderaan.

Wanita yang menggunakan nama Threads @wander_adibah itu berkata, pada mulanya dia berasa amat takut untuk mendekati anjing berkenaan, namun kebimbangan terhadap keselamatannya mengatasi rasa takut tersebut.

Menurutnya, dia tidak sanggup membiarkan anjing itu terus berlari di sekitar bulatan kerana khuatir ia akhirnya menjadi mangsa kemalangan.

Beliau kemudian berjaya memujuk anjing yang kelihatan cemas itu masuk ke dalam kenderaannya sebelum membawanya ke sebuah pasar raya di Batu Berendam.

Di situ, wanita terbabit memberikan makanan dan air kepada haiwan berkenaan, selain mendapatkan bantuan menerusi media sosial bagi mengesan pemiliknya atau mencari penyelamat haiwan yang boleh mengambil alih penjagaan sementara.

Usaha itu diteruskan apabila anjing berkenaan dibawa ke sebuah klinik veterinar di Batu Berendam untuk mendapatkan penjagaan sementara sementara menunggu perkembangan mengenai pemiliknya.

Dalam hantaran berkenaan, wanita itu turut merakamkan penghargaan kepada Dr Aravin dan kakitangan Maju Animal Clinic Batu Berendam atas bantuan yang diberikan kepada anjing terbabit.

Tidak lama kemudian, hantaran tersebut membawa kepada penemuan pemilik sebenar haiwan berkenaan.

Anjing yang dinamakan Bruno itu dilaporkan hilang dari Taman Merdeka Jaya sejak 9 Ogos, dan pemiliknya sebelum ini sudah membuat laporan kehilangan.

Kisah tersebut mendapat perhatian meluas dalam kalangan pengguna media sosial, dengan hantaran berkenaan menerima lebih 3,200 tanda “like” selain dibanjiri komen yang memuji keberanian dan keprihatinan wanita terbabit.

-BTSMedia.my

Leave a Comment