SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) memasuki fasa baharu apabila tujuh individu, termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat perkapalan bergelar Datuk, ditahan untuk membantu siasatan.
Turut ditahan ialah seorang pengarah syarikat dan bekas pengarah syarikat yang masing-masing bergelar Datuk dan Datuk Seri, selain empat bekas pegawai kanan pengurusan TH.
Sumber berkata kesemua suspek ditahan secara berperingkat antara pukul 3 petang hingga 10.30 malam semalam di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Menurut sumber, CEO syarikat perkapalan berusia lingkungan 60-an itu disiasat kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berkaitan pembayaran kepada TH.
Beliau dipercayai didakwa memalsukan kontrak sebuah syarikat petroleum bagi memberi manfaat kepada syarikatnya.
Dua lagi suspek lelaki berusia lingkungan 60-an pula dipercayai disiasat kerana didakwa memperdayakan pegawai TH supaya membuat pelaburan dalam sebuah syarikat pembinaan dengan menjanjikan potensi penyenaraian syarikat berkenaan di Bursa Malaysia.
Empat bekas pegawai kanan pengurusan TH, berusia antara 50-an hingga 60-an termasuk seorang Datuk Seri dan seorang wanita, pula ditahan kerana disyaki terbabit dalam amalan rasuah.
Siasatan terhadap kumpulan itu dikatakan berkait dengan keputusan TH memeterai perjanjian pajakan bernilai RM2.72 bilion dengan sebuah syarikat dari Arab Saudi bagi empat hotel, yang didakwa mengakibatkan kerugian kewangan kepada dana haji berkenaan.
Bagaimanapun, hanya dua suspek lelaki, iaitu CEO syarikat perkapalan dan seorang pengarah syarikat pembinaan bergelar Datuk, direman.
Majistret Ahmad Afiq Hasan mengeluarkan perintah reman selama lima hari sehingga 19 Ogos terhadap kedua-duanya di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Lima suspek lain pula dibebaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan.
Sumber berkata tangkapan itu dibuat susulan siasatan pasukan petugas khas yang ditubuhkan SPRM bagi meneliti Laporan RCI TH yang diterbitkan di portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 29 Julai lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Laporan RCI yang diumumkan pada 29 Julai itu mendedahkan pelbagai kelemahan dalam aspek pengurusan dan tadbir urus TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor penambahbaikan.
Laporan berkenaan kemudian dibentang dan dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Selasa lalu.
-BTSMedia.my



