PERBEZAAN pendirian antara Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai kedudukan Bersatu dalam gabungan itu menimbulkan gambaran janggal, dengan kedua-duanya memberikan tafsiran berbeza terhadap kedudukan parti berkenaan.
Abdul Hadi mendakwa bahawa pendiriannya berhubung status Bersatu dalam PN dibuat berdasarkan tindakan parti itu bertanding sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.
Samsuri pula mengambil pendirian bahawa Bersatu masih merupakan anggota PN berdasarkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan gabungan berkenaan.
Perbezaan itu dilihat ketara memandangkan Samsuri sendiri merupakan Pengerusi PN dan pada masa sama Naib Presiden PAS, sedangkan Abdul Hadi ialah Presiden PAS.
Mengulas perkara itu, Abdul Hadi berkata pendirian Samsuri adalah berdasarkan peruntukan yang dinyatakan dalam Perlembagaan PN, manakala beliau menilainya berdasarkan “mafhumnya” atau maksud yang dapat difahami daripada tindakan Bersatu.
Menurutnya, keputusan Bersatu bertanding “menentang” PN di Negeri Sembilan menunjukkan keadaan yang sukar diselaraskan dengan kedudukannya sebagai anggota gabungan tersebut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di Marang hari ini ketika mengulas pendirian Samsuri pada 9 Ogos lalu yang mengesahkan bahawa Bersatu masih merupakan parti komponen PN.
Abdul Hadi sebelum ini mendakwa PAS secara rasmi menganggap Bersatu tidak lagi menjadi sebahagian daripada keluarga PN selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menyatakan hasrat untuk menubuhkan pakatan politik baharu.
Samsuri pula sebelum ini tidak mengulas lanjut mengenai perbezaan pendirian itu, sebaliknya menegaskan bahawa sebarang tindakan berkaitan kedudukan Bersatu perlu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Sementara itu, ketika mengulas dakwaan Bersatu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu, Abdul Hadi sekali lagi mengaitkan perkara itu dengan tindakan Bersatu bertanding menentang PN dalam PRN Negeri Sembilan.
Perbezaan pendirian terbuka antara dua pemimpin kanan PAS itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar PN terhadap kedudukan Bersatu, khususnya apabila Pengerusi PN dan Presiden PAS dilihat tidak memberikan tafsiran yang sama mengenai isu berkenaan.
-BTSMedia.my



