BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, menegaskan pihak yang didakwa “sakau” wang Tabung Haji (TH) sebenarnya telah dinyatakan secara jelas dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), sekali gus menolak dakwaan bahawa isu berkenaan hanya berkisar kepada kelemahan tadbir urus.
Menurut beliau, laporan RCI turut mengesyorkan supaya tindakan diambil terhadap individu yang dikaitkan dengan kes-kes yang dilaporkan di TH. Beliau mendakwa perbuatan menipu wang dan akaun milik umat Islam serta kegagalan melaksanakan pemantauan dan tanggungjawab sewajarnya merupakan bentuk penyelewengan yang sebenar.
Dalam wawancara audio siar terbitan KiniTV yang dipetik Malaysiakini, Mujahid turut membidas pihak yang mempersoalkan penggunaan istilah “sakau”, sambil menyifatkan tindakan menyeleweng dana umat Islam jauh lebih serius berbanding polemik politik yang dibangkitkan.
Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas kritikan Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh, yang pada 30 Julai lalu mempersoalkan siapakah individu yang sebenarnya “sakau” wang TH kerana, menurutnya, tiada nama disebut secara khusus dalam laporan RCI. Akmal berhujah laporan berkenaan lebih memfokuskan kepada kelemahan aspek tadbir urus.
Laporan RCI bagaimanapun tidak membuat sebarang dakwaan bahawa mana-mana ahli politik Umno melakukan penyelewengan, rasuah atau kecurian. Sebaliknya, ia membangkitkan kebimbangan mengenai campur tangan politik susulan pelantikan beberapa pemimpin Umno ke dalam lembaga pengarah TH, termasuk bekas pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Abdul Azeez sebelum ini menegaskan beliau tidak mempunyai kuasa mutlak terhadap operasi TH kerana hanya memegang jawatan bukan eksekutif sepanjang tempoh perkhidmatannya dari 2013 hingga 2018.
Laporan sama turut mendedahkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap lima pegawai kanan TH melibatkan empat kluster kes, termasuk penjualan saham PT TH Indo Plantations, sumbangan RM22.12 juta kepada Yayasan Tabung Haji tanpa kelulusan awal menteri, pengisytiharan hibah bagi tahun kewangan 2017 serta tuntutan palsu.
Mengulas kritikan terhadap penjualan aset TH ketika beliau menjadi menteri, Mujahid berkata langkah itu bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha menyelamatkan institusi berkenaan daripada masalah kewangan.
Beliau berkata keputusan itu akhirnya diiktiraf sebagai tindakan terbaik untuk memulihkan TH, sambil menegaskan pengiktirafan tersebut bukan datang daripada dirinya, tetapi berdasarkan dapatan dan penilaian yang terkandung dalam laporan RCI.
-BTSMedia.my



