Siasatan susulan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji setakat ini membawa kepada penahanan dua bekas pegawai kanan sebuah syarikat milik badan berkanun oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang dipercayai terbabit dalam urus niaga pemerolehan saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Sumber memaklumkan kedua-dua individu terbabit ialah bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) berusia 68 tahun dan bekas ketua pegawai kewangan (CFO) berusia 60 tahun. Mereka ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Menurut sumber, kedua-duanya bagaimanapun dibebaskan pada malam yang sama atas faktor kesihatan dan diarahkan hadir semula ke ibu pejabat SPRM pada pukul 10 pagi hari ini bagi menyambung proses rakaman percakapan.
Difahamkan, tindakan itu adalah sebahagian daripada siasatan pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi meneliti serta menyemak dapatan RCI berkaitan Tabung Haji.
Laporan RCI berkenaan telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 29 Julai lalu.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua individu terbabit.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana disyaki berlaku penyalahgunaan kuasa.
– BTSMedia.my



