LEBIH 100 individu dijangka dihadapkan ke mahkamah di seluruh negara sepanjang bulan ini berhubung penyelewengan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut laporan New Straits Times (NST), tindakan pendakwaan itu adalah susulan operasi besar-besaran yang diumumkan SPRM pada awal bulan Jun lalu, dengan siri pertuduhan telah mula difailkan secara berperingkat di beberapa negeri.
SPRM mengesahkan seramai 13 individu telah dihadapkan ke mahkamah semalam di Pahang, Perak, Kelantan dan Kedah, manakala 16 lagi didakwa hari ini di Perak, Pulau Pinang, Kuala Lumpur serta Sabah. Suruhanjaya itu memaklumkan lebih ramai lagi akan didakwa sepanjang bulan Ogos.
Menurut SPRM, individu yang akan didakwa membabitkan pemilik syarikat serta beberapa pihak lain yang dipercayai menyalahgunakan program insentif berkenaan. Suruhanjaya itu bagaimanapun tidak memperincikan jumlah pertuduhan yang akan dikemukakan.
SPRM berkata senarai individu yang akan didakwa adalah panjang kerana siasatan melibatkan kes di seluruh negara. Semua kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk diteliti sebelum keputusan pendakwaan dibuat.
Suruhanjaya itu turut menegaskan kerjasama dengan Timbalan Pendakwa Raya akan diteruskan bagi memastikan setiap individu yang mempunyai bukti mencukupi terhadap mereka dibawa ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang.
Penipuan tuntutan itu dianggarkan mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM45 juta.
Pada bulan Jun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, mendedahkan bahawa sebanyak 1,638 syarikat berada dalam radar suruhanjaya kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 melibatkan nilai sekitar RM45 juta.
Siasatan turut mendapati antara taktik utama sindiket ialah menggunakan data peribadi mangsa tanpa kebenaran, termasuk individu daripada golongan rentan seperti orang kurang upaya (OKU), bekas banduan parol dan warga emas berusia lebih 60 tahun bagi mengemukakan tuntutan di bawah program tersebut.
SPRM juga mengesan kes pekerja yang hanya menerima bayaran sekali sahaja antara RM50 hingga RM2,400, walaupun tuntutan insentif penuh telah dibuat atas nama mereka.
Sehingga bulan Jun lalu, SPRM telah membuka 63 kertas siasatan dan menahan 97 individu, terdiri daripada 11 ejen dan 86 pemilik syarikat. Daripada jumlah itu, 77 suspek direman bagi membantu siasatan.
Difahamkan, baki suspek akan didakwa secara berperingkat di semua negeri kecuali Perlis.
-BTSMedia.my



