Oleh Zainal AS Rashid
BAYARAN berjumlah RM423 juta untuk program PenjanaKerjaya telah digantung berikutan siasatan terhadap dakwaan tuntutan palsu oleh sesetengah majikan dan penyedia latihan, kata Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Ketua Eksekutif Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam kenyataan pada Jumaat (15 Jul) berkata langkah itu diambil berdasarkan analisis data dan pemantauan berterusan oleh bahagian anti-penipuan, etika dan integriti organisasi itu.
Beliau berkata bahagian itu juga bekerjasama rapat dengan bahagian kewangan dan pejabat sistem insurans pekerjaan untuk memastikan setiap permohonan disemak secara menyeluruh sebelum sebarang pembayaran dibuat kepada penerima insentif.
Mohammed Azman berkata sehingga kini, PERKESO telah membuat bayaran berjumlah RM1.72 bilion kepada majikan dan pekerja di bawah program PenjanaKerjaya, melibatkan 45,379 majikan untuk menempatkan 327,789 pencari kerja.
Beliau berkata PERKESO amat mementingkan integriti, kejujuran dan amanah dalam pengagihan bantuan kewangan kerana ia melibatkan dana awam.
“Majikan harus jujur dalam mengemukakan permohonan untuk sebarang program bantuan, termasuk PenjanaKerjaya.”
“Mereka yang didapati menyalahgunakan dana ini atau telah mengemukakan permohonan tanpa memenuhi syarat hendaklah tampil membuat pembayaran balik secara sukarela atau menghubungi PERKESO untuk menyelesaikannya sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.
Mohammed Azman berkata PERKESO akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan tuntutan palsu yang dibuat di bawah program PenjanaKerjaya.
Beliau berkata SPRM dan Perkeso telah memantau penerima dana sejak Mei tahun lalu dan mendapati ada majikan mengemukakan tuntutan palsu dan menyalahgunakan dana itu.
PenjanaKerjaya yang diperkenalkan pada 2020 di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Negara, menawarkan insentif kewangan antara RM600 dan RM1,000 kepada majikan bagi setiap pekerja atau perantis yang diambil bekerja sehingga enam bulan.
Pada Rabu, SPRM dan PERKESO mengumumkan pelancaran siasatan terhadap dakwaan itu.
-BTS Media