BTS tolak sertai Grammy, bantah pengasingan muzik ikut bahasa dan rantau
Kumpulan sensasi K-pop, BTS, mengumumkan keputusan untuk tidak menghantar pencalonan bagi Anugerah Grammy 2027 kerana berpendirian bahawa karya muzik tidak seharusnya dinilai atau dikategorikan berdasarkan bahasa mahupun rantau asal.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik serentak di akaun media sosial setiap anggota pada hari Rabu, kumpulan yang dianggotai tujuh ahli itu memaklumkan mereka mengambil keputusan untuk tidak menyertai proses pencalonan Grammy tahun ini.
Menurut mereka, muzik wajar didengar dan dihargai berdasarkan nilai seni serta kualitinya, bukannya diasingkan mengikut bahasa atau wilayah. Mereka turut merakamkan penghargaan kepada peminat, khususnya ARMY, atas sokongan berterusan.
Keputusan itu dibuat lebih sebulan selepas Recording Academy memperkenalkan lima kategori baharu bagi Anugerah Grammy ke-69, termasuk kategori Persembahan Muzik Pop Asia Terbaik yang mengiktiraf karya dari pasaran Asia atau lagu yang menggunakan satu atau lebih bahasa Asia.
Kategori baharu itu merangkumi pelbagai genre pop Asia seperti K-pop, J-pop dan C-pop, namun pengenalannya mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat. Ada yang menyambut baik pengiktirafan tersebut, manakala sebahagian lagi mempersoalkan langkah itu kerana dilihat mengasingkan muzik berbahasa Asia daripada kategori utama Grammy.
Sebelum ini, BTS dianggap antara calon paling berpotensi untuk memenangi kategori baharu berkenaan, selain pernah menerima pencalonan Grammy dalam kategori lain.
Pengumuman itu dibuat ketika BTS sedang melalui fasa kebangkitan semula selepas kesemua tujuh anggotanya kembali aktif beraksi bersama susulan tamat menjalani perkhidmatan ketenteraan wajib di Korea Selatan tahun lalu.
Kumpulan itu turut melancarkan album baharu, Arirang, pada Mac lalu yang menduduki tangga teratas carta Billboard 200, manakala single utamanya, Swim, mengungguli carta Billboard Hot 100.
Sehingga laporan ini ditulis, Recording Academy masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan BTS untuk tidak menyertai Anugerah Grammy 2027.
– BTSMedia.my



