BTS Media

‘Di sana tolak ansur, di sini tolak tersungkur’

Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, dilihat mempersoalkan pendekatan diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menangani dua insiden berasingan membabitkan pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dan tindakan penguatkuasaan terhadap seorang peniaga belon.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Mohd Asri membandingkan layanan DBKL terhadap kedua-dua kes itu.

“Apa yang jelas ‘haram’ diberi segala layanan dan gantian, marhaen di jalanan diperlakukan tanpa keinsanan.

“Di sana tolak ansur, di sini tolak tersungkur. Prinsip apa yang kau akur dan ukur?” tulis Asri di Facebooknya.

Walaupun tidak menyebut secara khusus, Mohd Asri dipercayai merujuk kontroversi membabitkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Masjid India, Kuala Lumpur baru-baru ini dan tindakan keras pihak berkuasa tempatan terhadap seorang peniaga belon.

Isu mengenai kuil itu bermula selepas beberapa pihak mempertikaikan arahan untuk merobohkan tempat ibadat itu bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid oleh pemilik tanahnya yang sah, syarikat tekstil Jakel Group.

Pertikaian antara pihak pengurusan kuil dan Jakel berlarutan selama 11 tahun, namun tiada jalan penyelesaian. Pengurusan kuil itu juga mendakwa tempat ibadat itu telah berada di lokasi itu sejak 130 tahun lalu.

Konflik tersebut bagaimanapun selesai selepas jawatankuasa kuil mencapai persetujuan hasil rundingan bersama DBKL untuk memindahkan kuil itu di lokasi baru – iaitu kira-kira 50 meter daripada tapak asal.

Namun sesetengah pihak mempersoalkan keputusan memberikan tapak baru berkeluasan 4,000 kaki persegi untuk kuil tersebut.

Mereka juga membidas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa kerana menasihati Jakel supaya tidak menyaman jawatankuasa kuil berkenaan sebelum ini, sebaliknya memberikan tapak baru yang dianggar bernilai RM10 juta.

Sementara itu hari ini tular sebuah video memaparkan pergelutan antara penguatkuasa DBKL dengan seorang peniaga belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman malam tadi.

Tindakan penguatkuasa tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai yang berpendapat mereka bertindak keterlaluan terhadap penjaja berkenaan.

DBKL bagaimanapun mendakwa insiden kekasaran itu bermula apabila peniaga tanpa lesen itu menolak penguat kuasa dan tidak mengendahkan arahan beredar kerana mengganggu lalu-lintas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman, mengesahkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Baca lagi: https://m.malaysiakini.com/news/738715

Leave a Comment