GAMBAR ATAS: Dr Chaiwat Meesanthan dan peta penggunaan Bahasa Melayu serantau.
Oleh Feste KR
KETIKA sesetengah rakyat Malaysia berdebat mengenai peranan bahasa kebangsaan, Thailand pula mengorak langkah lebih jauh dengan meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga dalam sektor pendidikannya.
Rangka kerja silibus untuk mengajar Bahasa Melayu di sekolah menengah di Thailand telah pun disiapkan.
Menurut pengarah Institut Pengajian Asia Timur Universiti Thammasat Penolong Prof Dr Chaiwat Meesanthan, ia akan meningkatkan lagi pengajaran bahasa itu di Thailand.
Kerangka sukatan pelajaran untuk mengajar Bahasa Melayu di sekolah menengah kebangsaan Thailand telah pun siap, ia hanya dalam proses pemantapan.
Dr Chaiwat berkata kerajaan Thailand, menerusi Kementerian Pendidikan juga menyediakan biasiswa kepada guru untuk menghadiri kursus pengajaran Bahasa Melayu di Malaysia dan Indonesia bagi meningkatkan pendidikan bahasa itu di Thailand, lapor The Star.
Di peringkat pengajian tinggi, Dr Chaiwat berkata terdapat peningkatan bilangan pelajar universiti yang mengikuti kursus Bahasa Melayu kerana potensinya dalam pasaran buruh di rantau ini.
Beliau berkata pelajar ini sedar akan pentingnya Bahasa Melayu, terutama dalam sektor pekerjaan kerana bahasa itu digunakan oleh lebih 300 juta penduduk di rantau Asia Tenggara.”
Di rantau ini, Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan oleh empat negara, termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, walaupun dengan penyeragaman bahasa mereka sendiri.
Bahasa Melayu juga digunakan secara tidak rasmi oleh sebahagian penduduk di Filipina, Kemboja, Thailand, Timor Leste, Kepulauan Cocos dan Kepulauan Krismas, Australia.
Dr Chaiwat menambah, pengajaran Bahasa Melayu yang sebelum ini hanya tertumpu di bahagian selatan Thailand, di mana terdapat ramai penduduk menggunakannya, kini diperluaskan ke kawasan lain.
Sekurang-kurang 17 universiti di Thailand sekarang menawarkan pengajian Bahasa Melayu.
Beliau yang juga pensyarah Bahasa Melayu di Universiti Thammasat berkata pelajar yang mengikuti kursus itu bukan sahaja berketurunan Melayu atau Islam, malah ada juga pelajar daripada etnik dan agama lain.
Kira-kira 200 pelajar Thai menunjukkan minat untuk mengambil Bahasa Melayu sebagai pilihan bahasa ketiga setiap tahun. Sejak tahun 2000, sejumlah 1500 graduan telah mengambil Bahasa Melayu di universiti itu.
Dr Chaiwat menjelaskan bahawa pengajaran Bahasa Melayu di universiti Thailand dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Bahasa Melayu Malaysia dan Bahasa Indonesia.
Beliau berkata setiap institusi yang menawarkan kursus Bahasa Melayu mempunyai pertalian dengan universiti di Malaysia, seperti Universiti Thammasat dengan Universiti Malaya, Walailak University dengan Universiti Malaysia Perlis, dan Thaksin University dengan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Selain itu, Dewan Bahasa dan Pustaka juga mengadakan kolaborasi dengan Universiti Fatoni di selatan Thailand.
-BTS Media