SERAMAI 113 pelarian, termasuk 110 etnik Rohingya yang berkumpul di luar pekarangan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling, dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi penempatan sementara bagi menunggu tindakan lanjut pihak berkuasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata kumpulan berkenaan ditempatkan di IPK Kuala Lumpur selepas proses pendokumentasian dan pengesahan identiti dijalankan pada malam hari Isnin dengan kerjasama wakil UNHCR.
Menurut beliau, kesemua pelarian itu tiba di IPK Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.50 malam. Daripada jumlah tersebut, 110 adalah pelarian Rohingya, selain seorang lelaki Iraq, seorang wanita Somalia dan seorang wanita Indonesia yang berkahwin dengan pelarian Rohingya.
Beliau memaklumkan bahawa kumpulan pelarian Rohingya itu terdiri daripada 57 orang dewasa dan 53 kanak-kanak, melibatkan 36 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan.
Fadil berkata, hasil semakan yang dijalankan mendapati semua pelarian Rohingya terbabit memiliki dokumen UNHCR yang sah.
Katanya lagi, proses pendokumentasian dilaksanakan oleh pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam dengan kerjasama wakil UNHCR.
Perkembangan itu berlaku selepas kumpulan pelarian berkenaan tiba di ibu negara menaiki tiga bas susulan pemindahan mereka dari sebuah penempatan di Pulau Pinang.
-BTSMedia.my



